Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

GEORGE TOWN – Wanita yang ditemui mati di dalam kereta di parkir sebuah stesen minyak di Paya Terubong di sini semalam disahkan meninggal dunia akibat pneumonia atau radang paru-paru.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini.

“Proses bedah siasat ke atas mayat mangsa yang berasal dari Paya Terubong itu telah selesai dilaksanakan di Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Pulau Pinang pagi tadi.

“Punca kematian si mati adalah akibat radang paru-paru (pneumonia) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Satu laporan mati mengejut (LMM) dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita ditemui maut dalam kereta sarat barang ibarat rumah mini

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, seorang wanita ditemui mati di dalam keretanya yang dipenuhi pelbagai barangan sehingga memenuhi ruang kenderaan itu di sebuah stesen minyak.

Difahamkan, pemeriksaan polis menemui pelbagai barangan di dalam kenderaan berkenaan termasuk pakaian, bantal, kotak, beg,  makanan serta sejumlah dadah.

Sementara itu, ibu mangsa yang tiba di lokasi kejadian memaklumkan anaknya, Khor Bee Jun mempunyai masalah kesihatan mental dan mendapatkan rawatan di klinik hampir 10 tahun.

“Saya tak sangka, setiap hari dia pulang ke rumah seperti biasa, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kejadian sebegini.

“Keadaannya yang kurang sihat menyebabkan dia gemar menyimpan pelbagai barangan di dalam kereta seolah-olah tinggal di dalam kenderaan itu, namun sebenarnya dia tetap pulang ke rumah setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast