Kereta mangsa sarat dengan pelbagai barangan ibarat rumah mini hingga menyebabkan sebahagiannya dikeluarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasat.

GEORGE TOWN – Seorang wanita ditemui maut dalam kereta miliknya yang dipenuhi pelbagai barangan sehingga menutup semua ruang dalam kenderaan tersebut di parkir sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong di sini malam tadi.

Kematian mangsa terbongkar selepas polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berkunci dari dalam sebelum meminta bantuan bomba untuk membuka pintu kereta berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Khairul Annuar Mohd Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan bantuan pukul 7.48 malam.

“Anggota berdepan kesukaran untuk membuka pintu kereta itu berikutan keadaan bahagian dalam kenderaan dipenuhi barangan.

Khairul Annuar.

“Kita berjaya membuka pintu selepas memecahkan cermin tingkap bahagian penumpang belakang dan menemui mangsa di tempat duduk pemandu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, pemeriksaan polis menemui pelbagai barangan di dalam kenderaan berkenaan termasuk pakaian, bantal, kotak, beg, makanan serta sejumlah dadah.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dikesan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Sementara itu, ibu mangsa yang tiba di lokasi kejadian memaklumkan anaknya, Khor Bin Jun, 38, mempunyai masalah kesihatan mental dan mendapatkan rawatan di klinik hampir 10 tahun.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Kira-kira  8.30 malam saya menerima panggilan daripada polis memaklumkan anak saya ditemui meninggal dunia dalam kereta.

“Saya tak sangka, setiap hari dia pulang ke rumah seperti biasa, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kejadian sebegini.

“Keadaannya yang kurang sihat menyebabkan dia gemar menyimpan pelbagai barangan di dalam kereta seolah-olah tinggal di dalam kenderaan itu, namun sebenarnya dia tetap pulang ke rumah setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast