Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bercakap pada sidang media di Lobi Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan bayaran maksimum penyertaan bazar Deepavali 2026 kepada RM400 berbanding RM2,626 tahun lalu, iaitu pengurangan kira-kira 85 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pengurangan itu bertujuan meringankan kos ditanggung penjaja, selain memberi mereka tempoh perniagaan lebih panjang.

Menurutnya, kadar baharu itu merangkumi fi lesen RM30, caj perkhidmatan RM150, sewa tapak RM150 dan cagaran RM70.

“Pada 2025, jumlah bayaran yang dikenakan ialah RM2,626, membabitkan fi lesen RM21, caj perkhidmatan RM105, sewa tapak RM500 dan cagaran RM2,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Hannah berkata, tempoh penganjuran bazar kali ini turut dipanjangkan kepada 30 hari berbanding 21 hari tahun lalu bagi memberi peluang kepada penjaja menjalankan perniagaan lebih lama.

“Jumlah penawaran tahun ini meningkat kepada 172 petak niaga berbanding 164 petak pada 2025, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai penjaja menyertai aktiviti perniagaan sempena sambutan Deepavali,” katanya.

Sementara itu, Fadlun berkata, bazar Deepavali tahun ini membabitkan dua lokasi utama, iaitu tempat letak kereta Kompleks Tun Sambanthan di Jalan Tun Sambanthan dan tempat letak kereta Jalan Bunus 6, Little India.

Katanya, barangan yang dibenarkan untuk dijual ialah makanan dan minuman serta barangan kering, manakala waktu operasi ditetapkan dari jam 10 pagi hingga tengah malam.

Mengenai isu kesesakan lalu lintas, beliau berkata, DBKL sudah mengenal pasti beberapa laluan alternatif dan akan melaksanakan kawalan trafik sepanjang tempoh bazar berlangsung.

Dalam pada itu, Fadlun berkata, penganjuran bazar tahun ini menggunakan model pengurusan hibrid dengan DBKL bertanggungjawab terhadap aspek pelesenan, kawal selia dan penguatkuasaan, manakala persatuan terbabit membantu mengurus operasi bazar.

Empat persatuan terbabit ialah Pertubuhan Kebajikan Peniaga dan Penjaja Kecil Interaksi Kuala Lumpur dan Selangor (PKPPKI), Persatuan Prihatin Peniaga Little India Brickfields, Persatuan Penjaja Penjaja Medan Selera Pines Bazaar Brickfields dan Malaysia Hindu Sangam Wilayah Persekutuan.

Manakala, penglibatan Malaysia Hindu Sangam Wilayah Persekutuan adalah kerjasama baharu tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here