Van persendirian sengaja dicat warna kuning bagi mengaburi mata pihak berkuasa antara taktik dikesan JPJ Pulau Pinang dalam operasi khas bas sekolah haram di Simpang Ampat di sini.

SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang membongkar kegiatan pengusaha bas sekolah haram yang dikesan menggunakan kenderaan persendirian bagi menawarkan perkhidmatan menghantar dan mengambil murid sekolah dalam Operasi Khas di sekitar Simpang Ampat di sini.

Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan dan maklumat orang awam mengenai peningkatan aktiviti kenderaan persendirian yang menawarkan perkhidmatan membawa murid sekolah tanpa kebenaran sekali gus melanggar peraturan sedia ada.

Menurutnya, sebanyak tujuh kenderaan termasuk van dikesan terlibat dalam kegiatan berkenaan dan antara alasan diberikan pengusaha adalah wujud permintaan tinggi daripada ibu bapa, selain kadar tambang yang ditawarkan lebih murah berbanding bas sekolah berdaftar.

“Mereka menawarkan harga sekitar RM100 hingga RM130 sebulan mengikut jarak, namun aspek keselamatan dan perlindungan insurans penumpang menjadi persoalan utama.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan-kenderaan ini tidak mempunyai permit yang sah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk beroperasi membawa penumpang awam khususnya murid sekolah.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan membelakangkan keselamatan penumpang dan tindakan tegas termasuk penyitaan kenderaan serta pendakwaan di mahkamah akan diambil mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya kepada pemberita di sini.

Kadar tambang murah antara fakta van sekolah haram mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa.

Terdahulu, semasa operasi dijalankan, pihak berkuasa mengesan sebuah van sengaja dicat warna kuning bagi mengelirukan dan mengaburi pemerhatian anggota penguat kuasa.

Selain semakan turut mendapati van tersebut pernah diambil tindakan sebelum ini atas kesalahan sama.

Sehubungan itu, Zulkifly menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa supaya tidak menggunakan perkhidmatan tidak berlesen walaupun kadar ditawarkan mungkin lebih murah atau mudah diperoleh.

“Kenderaan persendirian yang digunakan untuk tujuan komersial tanpa permit tidak dilindungi insurans kenderaan perdagangan. Sekiranya berlaku kemalangan, penumpang termasuk anak-anak tidak akan dilindungi insurans.

“Orang ramai turut diseru supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi JPJ demi keselamatan bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast