ACEH TIMUR – Bunyi kayu patah yang menggerunkan bergema memecah sunyi pinggiran gunung di Serbajadi. Pada 26 November tahun lalu, sekitar jam 4 petang, banjir besar disertai tanah runtuh meluru tanpa amaran. Dan pada saat itulah, ramai penduduk merasakan “kiamat” sedang menghampiri.
Sulman Bahri, 32, masih mengingati detik itu dengan wajah yang sukar menyembunyikan getar. Di hadapan mata, enam kampung di sekitar Serbajadi seperti “hilang” ditelan arus. Bukan sekadar air, tetapi lumpur tebal dan kayu balak (‘balok’) bersaiz besar yang datang bertali arus, merempuh apa sahaja yang berada di hadapannya.
“Orang menangis… kami tengok kampung kami musnah. Masa itu rasa macam kiamat,” katanya kepada MalaysiaGazette yang berada di Aceh Timur bagi meninjau perkembangan terkini di kawasan tersebut selepas tiga bulan dilanda banjir besar.

Kesan bencana itu tidak berhenti apabila air surut. Hingga kini, lebih 982 keluarga masih hidup dalam bayang trauma. Bila hujan turun berpanjangan, degup resah kembali mengetuk seolah-olah bunyi kayu patah itu boleh datang semula bila-bila masa.
Menurut Sulman, kira-kira 100 keluarga yang masih tinggal di rumah asal akan segera berpindah ke kawasan lebih selamat jika cuaca terus buruk.
Sulman yang merupakan petani dari Kampung Sunti berkata, ramai keluarga kini berlindung di pusat pemindahan sementara dekat Kampung Sekualan, sambil menanti keputusan pihak pemerintah Indonesia tentang masa depan mereka sama ada tempat tinggal sementara, dan rumah kekal yang dijanjikan.
“Harapan kami… proses hunian sementara dan tetap itu cepat direalisasikan. Supaya masyarakat tidak berasa kesulitan. Dan peruntukan untuk bina rumah juga disegerakan,” rayunya.

Bagi penduduk yang hidupnya bertaut pada tanah, kehilangan bukan sekadar rumah. Sawah yang menjadi sumber rezeki sudah tidak lagi seperti dulu, ada yang tertimbus, ada yang rosak, ada yang hilang bentuk.
“Kami susah… hasil pertanian seperti sawah tiada lagi. Kami mohon pemerintah fikir macam mana nak bantu ekonomi penduduk,” katanya perlahan, seolah-olah menahan sesuatu di dada.
Soal makanan pula, Sulman memilih kata-kata yang rendah hati namun jelas terselit keperitan. Bantuan ada, tetapi tidak pernah terasa “cukup” bila sumber kehidupan sendiri sudah terputus: tanaman musnah, ternakan hilang, pekerjaan harian lenyap.
“Ya… cukup seadanya. Tapi penduduk berharap lebih ramai datang membantu. Untuk penghasilan, peluang kerja atau perusahaan macam rutin sebelum ini… sudah tidak ada,” katanya.

Paling menghantui, kata Sulman, ialah saat mereka sedar arus yang datang bukan banjir biasa. Ketika melihat air deras membawa balok besar, panjang, berat, barulah mereka faham ini bukan sekadar air naik, ini arus yang boleh melenyapkan seluruh kampung.
Balok-balok itu bertaburan, menghempas pokok durian, pinang dan tanaman lain; merempuh rumah-rumah yang selama ini menjadi tempat berlindung keluarga. Dalam kelam panik, ramai hanya sempat menyelamatkan diri tanpa sempat menoleh pada pakaian, dokumen, kenangan.
“Sedih… sebab bila lari, tinggal sehelai sepinggang. Tapi bukan kita seorang saja kena. Mudah-mudahan kita bangkit lagi,” katanya, cuba menguatkan diri sendiri.

Ironinya, sebelum bencana, kawasan ini bukan sekadar kampung sunyi di pinggir gunung. Ia pernah menjadi lokasi peranginan yang indah, tempat orang datang bermandi-manda, tempat penduduk mencari rezeki dengan berniaga. Namun hari ini, yang tinggal hanyalah cerita dan landskap yang berubah wajah, dilumur lumpur dan serpihan.
Menurut Sulman, arus kayu balak itu bukan hanya dari Aceh Timur. Ia juga dibawa dari hulu sungai, termasuk kawasan Aceh Tengah, mengalir melalui Sungai Lokop yang melebar menjadi dua laluan mengelilingi kampung membawa bersama pohon-pohon besar, termasuk pinus, seperti “raksasa” yang dihanyutkan air.
Dan apabila Ramadan tiba, luka itu terasa lebih dalam.

“Bulan puasa ini sangat terasa… dulu ada alat dapur. Sekarang untuk masak sahur jam 3 pagi pun… terpaksa guna kayu api,” katanya.
Di bulan yang sepatutnya tenang, sebahagian mereka masih berbuka dalam serba kekurangan dan bersahur dengan hati yang belum benar-benar pulih.
Bagi penduduk Serbajadi, bencana itu bukan sekadar tarikh di kalendar. Ia menjadi bunyi yang tinggal dalam ingatan: bunyi kayu patah yang mengajar mereka bagaimana sebuah kampung boleh berubah menjadi kenangan, dalam sekelip mata. – MalaysiaGazette
















