KUANTAN – Istana Pahang kembali mengesan penularan video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, beberapa klip video palsu giat disebarkan melalui akaun Facebook ‘bantuan kewangan kerajaan’ kononnya berkenaan tawaran bantuan kepada rakyat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan.
“Istana Pahang ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah tidak benar dan tidak sahih. Ia merupakan penyalahgunaan imej Sultan Pahang bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang ramai,” katanya menerusi Kesultanan Pahang.
Istana Pahang turut menegaskan bahawa Al-Sultan Abdullah tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang.
Tambahnya, hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang di aplikasi Facebook ketika ini dengan memiliki kira-kira 758,000 orang pengikut.
Manakala di platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok dan Youtube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang selain portal rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my. – MalaysiaGazette
















