Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR — Pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah langkah tepat, namun kuasa yang terlalu tertumpu masih menimbulkan kebimbangan dan memerlukan semakan teliti oleh Parlimen, kata Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid.

Beliau berkata, kerajaan telah membentangkan RUU Pindaan Perlembagaan bagi mengatasi isu pemusatan kuasa, termasuk had masa jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Konsep mudah adalah Peguam Negara sebelum ini bertindak pakai dua topi. Selain jadi penasihat undang-undang pada Kabinet/Kerajaan serta wakil peguam bagi Malaysia seluruh dunia.

“Dia juga akan jadi pendakwa raya iaitu tentukan siapa yang akan dituduh, didakwa, dibicara dan kalau perlu siapa yang patut dapat NFA/DNAA/DNA,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafique menegaskan bahawa niat kerajaan untuk mengasingkan dua jawatan tersebut adalah baik dan wajar disokong, namun deraf RUU masih menunjukkan kelemahan yang perlu diperhalusi oleh ahli Parlimen dan rakyat.

“Kritikan sebelum ini adalah kepada kuasa atau tangan Perdana Menteri dalam pelantikan Peguam Negara/Pendakwa Raya. RUU ini nampaknya atas kertas jawap isu itu. RUU nyatakan Pendakwa Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Tiada perkataan nasihat dari Perdana Menteri disitu, namun, YDPA akan dapat syor nama calon Pendakwa Raya ini dari Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

“Pengerusi SPKP ini adalah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Siapa yang nasihatkan pelantikan Pengerusi SPA? Perdana Menteri. Maka adakah betul-betul pencalonan ini bebas dari tekanan politik?” soalnya.

Beliau menekankan mekanisme telus perlu diwujudkan bagi memastikan pemilihan Pendakwa Raya benar-benar bebas, termasuk saringan parlimen dan cadangan lebih daripada satu nama calon untuk dipertimbangkan.

“Suara rakyat dibawa ke dewan melalui ahli Parlimen mereka. Maka biar rakyat lihat dan bahas nama-nama ini, kemudian undi dan pilih.

“Ini akan elak tohmahan Pendakwa Raya dipilih mana-mana individu. Sekali gus ia akan beri satu endosmen besar pada Pendakwa Raya bahawa rakyat sedang lihat dan teliti kerja beliau,” tegasnya.

Rafique menambah, kuasa mutlak tanpa semak imbang boleh menjadi barah yang bahaya,” dan pengalaman isu SPRM serta tindakan Perdana Menteri sebelum ini membuktikan keperluan memperkukuh sistem semak imbang.

Malah sekiranya kes pendakwaan selesai dan tertuduh dipanggil bela diri, Pendakwa Raya wajib membiarkan Mahkamah sahaja membuat keputusan samada bebas, bebas dan lepas, atau bebas tanpa lepas.

“Antara lainnya perlu juga kajian semula pada kuasa Pendakwa Raya. Halangan menarik balik kes dalam situasi tertentu. Mungkin mesti dicadang pindaan.

“Akhirnya pindaan dan cadangan boleh dibuat tetapi patah balik pada integriti dan maruah diri. Bukan sahaja Pendakwa Raya tapi apa jua jawatan dan amanah,” katanya.

Dalam pada itu, Rafique menggesa ahli Parlimen sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang untuk meneliti RUU tersebut dengan serius bagi memastikan rakyat terjamin, bukan sekadar kepentingan individu atau kuasa politik tertentu.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang peranan dalam pelantikan Pendakwa Raya selepas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 dikuatkuasakan kelak.

Sebaliknya, pelantikan bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas diluluskan Majlis Raja-Raja, dengan tempoh perjawatan selama tujuh tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast