Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat perlu dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen.

Jelasnya, prinsip dalam tindakan itu adalah jelas yang mana apabila seseorang ahli Parlimen dipecat daripada parti, hubungan keahlian dengan parti tersebut terputus serta-merta.

“Walaupun kerusi Parlimen tidak menjadi kosong di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, kedudukan politik individu tersebut berubah kepada ahli Parlimen Bebas kerana beliau tidak lagi mewakili mana-mana parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada tindakan pemecatan daripada Bersatu terhadap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 13 Februari lalu namun masih menyandang jawatan Ketua Pembangkang sehingga kini.

Selain itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat pada Oktober tahun lalu juga masih kekal di blok pembangkang dan memegang jawatan dalam portfolio pembangkang.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, dalam konteks Dewan Rakyat negara ini, seseorang yang bukan lagi ahli parti tidak mempunyai legitimasi untuk terus berada dalam blok parti asal atau gabungan pembangkang rasmi.

Oleh itu, menurutnya, ahli Parlimen yang telah dipecat sewajarnya dipindahkan segera ke blok bebas bagi mencerminkan kedudukan politik sebenar.

“Begitu juga dengan semua jawatan yang diperoleh atas kuota parti atau blok pembangkang seperti Ketua Pembangkang, Ketua Whip, pengerusi jawatankuasa Parlimen dan portfolio pembangkang hendaklah dianggap terbatal secara prinsip apabila seseorang Ahli Parlimen kehilangan status keahlian parti.

“Jawatan-jawatan tersebut adalah milik institusi parti dan blok pembangkang bukannya hak peribadi individu,” katanya.

Tambah beliau, kelewatan dalam melaksanakan pemindahan status dan penggantian jawatan bukan sahaja menimbulkan kekeliruan malah boleh menjejaskan kredibiliti Perikatan Nasional sebagai pembangkang dan institusi semak dan imbang dalam Parlimen.

Selain itu, jelasnya, ia juga memberi gambaran kelemahan dalam pengurusan disiplin politik sekiranya tidak ditangani dengan tegas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast