Logo Universiti Kebangsaan Malaysia

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesahkan penerimaan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 hasil proses audit yang dijalankan dengan kerjasama penuh pihak universiti.

UKM memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa pihak universiti sedang melaksanakan proses semakan rapi demi melakukan pembaharuan dan memperkukuh sistem sedia ada.

“UKM juga akan mengambil tindakan disiplin dan/atau undang-undang berdasarkan hasil siasatan penuh mengikut prinsip due process,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, UKM juga telah mengambil beberapa langkah penambahbaikan dalaman yang menyeluruh.

“Justeru, adalah pramatang untuk kami memberikan perincian lanjut pada waktu ini bagi menghormati proses yang sedang berjalan,” katanya lagi.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mendedahkan ketidakpatuhan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan melibatkan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Menurut laporan itu, kutipan hasil yuran pelajar bagi program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) berjumlah RM60.77 juta sepatutnya diakaunkan berdasarkan surat tawaran yang dikeluarkan kepada 17,193 pelajar, melibatkan 787 pelajar SPEND dan 16,406 pelajar DPLI.

Bagaimanapun, hanya RM28.41 juta diiktiraf sebagai hasil universiti, manakala RM32.36 juta yang diterima dan diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 tidak diperakaunkan sebagai hasil UKM, sekali gus menyebabkan hasil tahun 2024 terkurang nyata dalam penyata kewangan universiti.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa sejumlah RM50.74 juta yuran pelajar telah dikutip oleh Koperasi B-5-1788 tanpa perwakilan kuasa bertulis daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan UKM.

Selain itu, perjanjian kerjasama antara UKM dan koperasi berkenaan yang ditandatangani pada 15 Jun 2023 didapati tidak mendapat kelulusan LPU dan Menteri Kewangan, menjadikan perjanjian tersebut tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan UKM.

Audit turut mendapati agihan yuran berjumlah RM21.02 juta diserahkan lewat kepada UKM antara 31 hingga 291 hari selepas tarikh akhir pendaftaran pelajar.

Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak RM5.32 juta yuran pelajar masih belum diserahkan kepada UKM, dengan sebahagiannya tertunggak melebihi tiga tahun.

Dalam pada itu, laporan berkenaan mendedahkan wujud konflik kepentingan apabila lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam pengurusan Koperasi B-5-1788, termasuk sebagai Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ahli Lembaga Koperasi.

Keadaan itu didapati bercanggah dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) serta peraturan tatakelakuan pegawai awam.

Laporan itu turut mengenal pasti bayaran perbelanjaan ke luar negara kepada individu bukan kakitangan UKM berjumlah RM107,907, elaun pelajar sangkutan industri RM35,000 kepada pelajar tidak layak, pendahuluan RM200,000 tanpa punca kuasa serta perolehan pakej penginapan dan promosi RM403,500 yang tidak melalui Jawatankuasa Sebut Harga.

Dalam maklum balas bertarikh 22 Januari 2026, pihak UKM memaklumkan bahawa UKMShape telah mengambil alih sepenuhnya proses pengambilan dan kutipan yuran pelajar DPLI bermula Kohort 7 Semester 1 Sesi 2025/2026 dan merancang pelaksanaan sama bagi SPEND.

UKM turut memaklumkan pelarasan perakaunan telah dibuat bagi mengiktiraf hasil yang sepatutnya serta tindakan tuntutan terhadap baki hutang koperasi sedang dilaksanakan mengikut Polisi Pengurusan Hutang Universiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast