Antara bunga api dan mercun yang dirampas dalam dua serbuan di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dan merampas 263 kotak mercun dan bunga api bernilai RM442,300 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis perniagaan di Skudai pukul 10 malam selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti penjualan dan penyimpanan bahan letupan itu.

“Pegawai dan anggota dari unit risik marin menjalankan serbuan dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang berada dalam premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 86 kotak yang mengandungi mercun dan bunga api. Suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen penyimpanan bahan letupan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan itu berjumlah RM211,000, suspek ditahan dan semua barangan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

Noor Azman, serbuan kedua dilakukan di premis kediaman di Danya Bay pasa pukul 12.30 tengah malam selepas mendapat maklumat yang sama berhubung aktiviti itu.

Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh dalam premis seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan dan menemui 77 kotak mengandungi bunga api dan mercun bernilai RM231,300.

Suspek katanya, turut gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen penyimpanan bahan letupan yang sah.

“Semua barangan berkenaan dibawa ke IPD Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, kedua-dua kes tersebut disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast