KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang akan memperincikan isu kebertanggungjawaban dan etika penggunaan masih di peringkat awal penggubalan di bawah Kementerian Digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU tersebut akan melalui sesi libat urus termasuk Jawatankuasa Khas Parlimen untuk meneliti dan membincangkan beberapa aspek yang terlepas pandang.
“RUU ini bagi saya sangat kritikal, ia kerangka tadbir urus yang komprehensif, sepatutnya melibatkan keseluruhan kitaran hayat sistem AI meliputi pembangunan, latihan, model, pelaksanaan, pemantauan serta pengurusan risiko.
“RUU ini merupakan satu pendekatan dan ikhtiar baharu serta memastikan undang-undang sedia ada harus terpakai,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana RUU Tadbir Urus AI menangani isu hak cipta dan harta intelek susulan ancaman sistem AI dilatih menggunakan data dan maklumat berhak cipta termasuk teks, imej, audio dan video.
Jelas Perdana Menteri, undang-undang di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mampu mengekang ancaman sistem AI terhadap bahan berhak cipta.
“Akta Hak Cipta 1987 yang mesti dilaksanakan dengan berkesan dan MyIPO diminta digerakkan serta pantau secara lebih berkesan,” katanya.
Selain itu, kata Perdana Menteri, RUU Tadbir Urus AI akan mengambil kira permasalahan dan risiko kemudaratan hasil daripada penggunaan sistem baharu itu.
“Ini sebenarnya melibatkan soal etika, sebab kelemahan ketara dalam sistem AI dan digital yang diperkenalkan sekarang itu seolah-olah mengetepikan pertimbangan etika.
“Bagi negara kita dalam penggubalan ini, bila kita bicara soal risiko bahaya dan insiden daripada penggunaan AI.
“Saya fikir pihak penggubal akan memberi perhatian khusus, berbeza pendekatan yang diamalkan di Barat sekarang hanya dari sudut perincian aspek undang-undang, akhlak dan moral itu tidak diberikan keutamaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















