Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Sindiket menggunakan 12 akaun TikTok yang meniru wajah dan suara Exco kerajaan negeri serta memperalat Bantuan Kasih Johor (BKJ) bertujuan memperdaya rakyat adalah satu jenayah terancang yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sindiket itu bukan sahaja mencemarkan kepimpinan negeri, malah cuba mengeksploitasi kepercayaan rakyat dengan menggunakan logo dan identiti kerajaan melalui BKJ secara tidak sah.

Jelasnya, sindiket berkenaan berbuat demikian untuk mencuri maklumat peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bank selepas mangsa mendaftar di bawah pautan yang mereka berikan.

“Saya memandang serius pendedahan oleh pihak polis berhubung kewujudan 12 akaun TikTok yang disyaki menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru wajah dan suara Exco Kerajaan Negeri Johor bagi memperdaya rakyat berkaitan BKJ.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempermainkan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad hari ini mendedahkan, pihaknya mengesan sindiket terbabit menggunakan suara serta wajah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail bagi menyampaikan maklumat BKJ dalam akaun TikTok.

Menurutnya, terdapat 12 akaun TikTok dikesan beroperasi di negara jiran yang menyampaikan maklumat berkaitan BKJ secara tidak sah bertujuan untuk menipu dan menjalankan aktiviti scam.

Ab Rahaman berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengesahkan menerima satu laporan polis daripada Khairin-Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom itu pada 20 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz menegaskan bahawa semua maklumat rasmi berkaitan BKJ hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi kerajaan negeri.

Katanya, rakyat dinasihatkan supaya tidak menekan pautan mencurigakan, tidak berkongsi maklumat peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak sah dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus melindungi kebajikan serta keselamatan Bangsa Johor daripada ancaman jenayah siber.

Tindakan tegas ujar beliau, akan diambil dan dalang yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia dan khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang sedang menjalankan siasatan rapi, serta kerjasama bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menjejaki dalang di sebalik akaun-akaun ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast