KUALA LUMPUR – Selepas seharian berpuasa, bufet Ramadan bertemakan Warisan Citarasa Asli 2 Benua anjuran RISDA Security and Services Sdn Bhd (RSS) dengan kerjasama Rumah Makan Patin Pasu pasti menawarkan kepuasan kepada pengunjung kerana menawarkan sebanyak 80 juadah istimewa.
Ketua Pegawai Eksekutif RSS, Putera Sidek berkata, bufet itu mengetengahkan konsep gabungan masakan tradisional Melayu dan hidangan Barat sekali gus menawarkan kelainan kepada warga kota yang ingin menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana eksklusif.
Menurutnya, penganjuran bufet Ramadan di Dewan Menara Kumpulan RISDA bermula semalam hingga 18 Mac depan merupakan satu langkah strategik syarikat dalam memperluaskan cabang perniagaan ke bidang katering dan hospitaliti
“RISDA berpengalaman lebih 10 tahun dalam pengurusan acara dan ini merupakan kali pertama kita mengorak langkah untuk bufet Ramadan sekali gus meningkatkan lagi cabang perniagaan
“Pemilihan Rumah Makan Patin Pasu sebagai rakan kerjasama dibuat berasaskan reputasi dan kepakaran restoran itu dalam menyediakan masakan Melayu asli yang menitikberatkan rasa tradisi serta kualiti hidangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Putera menambah, Pengasas Bersama Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar berkata, sebanyak 80 jenis lauk-pauk disediakan setiap hari dan dibahagikan kepada tiga set menu secara bergilir iaitu Set A, Set B dan Set C.
Menurut beliau, konsep menu berputar itu diperkenalkan bagi memastikan pelanggan menikmati variasi hidangan berbeza sepanjang Ramadan dan tidak berasa jemu.
Antara tarikan utama yang bakal menjadi pilihan pengunjung termasuk daging salai, itik salai dan keli salai yang dimasak mengikut resipi tradisi Melayu.
Bagi peminat sajian Barat pula, kambing bakar, lamb stew, lasagna serta pelbagai jenis pasta dan masakan Itali turut disediakan, dikendalikan oleh cef bertauliah bagi memastikan standard rasa dan kualiti terjaga.
Sementara itu, Dewan RISDA yang terletak di tengah ibu kota itu mampu menampung sehingga 500 tetamu pada satu-satu masa.
Ia turut dilengkapi kemudahan surau yang selesa serta parkir percuma untuk kemudahan pengunjung selain suasana berbuka puasa juga akan diserikan dengan persembahan live band sekali gus menambahkan lagi kemeriahan sepanjang majlis berlangsung.
Harga bufet ditawarkan pada kadar RM139 bagi dewasa, RM110 untuk staf dan pesara RISDA, manakala RM88 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun serta warga emas 60 tahun ke atas.
Diskaun berkumpulan turut disediakan dengan potongan 10 peratus untuk tempahan 30 hingga 40 orang dan 15 peratus bagi tempahan melebihi 41 orang.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau menghubungi talian 011-17692601, 013-2469229 atau 019-3517116. – MalaysiaGazette

















