SHAH ALAM – Laluan berbumbung Aneka Walk sepanjang 300 meter yang menghubungkan Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) serta SACC Mall bakal menjadi tarikan pelancongan dalam dan luar negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laluan berkeluasan 4,500 meter persegi itu bukan sahaja mesra pejalan kaki, bahkan mampu memperkukuh jaringan mobiliti, akses pengunjung serta ekosistem perniagaan.

“Aneka Walk menjadi lokasi pengaktifan utama yang menghimpunkan reruai jualan, pengalaman membeli-belah Aidilfitri serta aktiviti komuniti dalam satu platform bersepadu.
“Kemudahan ini mampu menampung sehingga 3,000 pengunjung, selain menyediakan lebih 140 unit ruang niaga unit ruang runcit dan perniagaan yang sesuai untuk pelbagai skala perniagaan.
“Hab berkonsepkan integrasi ini menggabungkan perniagaan, budaya, hiburan serta aktiviti komuniti dalam satu ekosistem moden dan dinamik dijangka muncul sebagai destinasi pilihan serta mercu tumpuan baharu warga Shah Alam,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Ramadan Selangor (FESTIRA 2026) di Aneka Walk, SA Sentral.
Festival kali ini berlangsung di empat lokasi iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Aneka Walk di Shah Alam serta Kompleks PKNS Bangi bermula dari 30 Januari hingga 20 Mac 2026.
Amirudin juga berkata, FESTIRA menghimpunkan lebih 950 usahawan tempatan termasuk penyertaan reruai jualan, bazar Ramadan dan lot kedai di tiga pusat beli-belah utama milik PKNS.
“FESTIRA yang memasuki edisi ke-12 tahun ini menyasarkan kehadiran 2.5 juta pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.
“Pelbagai kategori jualan ditawarkan termasuk fesyen dan aksesori Aidilfitri lelaki, wanita dan kanak-kanak, pelbagai jenis kuih raya dan kerepek, juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam,” katanya.
Selain itu katanya, Aneka Walk akan dimeriahkan pelbagai aktiviti pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan ini.
“Aktiviti di sini tidak hanya berhenti selepas waktu berbuka puasa tetapi boleh bersambung sampai waktu malam. Sebenarnya secara tradisi untuk Kompleks PKNS dan SACC Mall ini, menjelang seminggu terakhir hari raya, waktu jualannya akan berpanjangan sampai lewat sedikit.
“Dengan ada aktiviti yang kita aturkan di Aneka Walk dan sebagainya saya percaya dia akan berpanjangan dan juga akan lebih lama,” katanya.
Menurut Amirudin, pembukaan Aneka Walk bakal memeriahkan suasana pusat beli-belah sekitar Shah Alam, khususnya minggu terakhir Ramadan di mana orang ramai berpusu-pusu membeli-belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitiri.
“Mungkin dua minggu lagi akan mula panjang dengan ada pengumuman dengan gaji yang akan dikeluarkan dan sebagainya yang membuat orang ingin berbelanja untuk persiapan hari raya dan termasuk persiapan untuk berbuka puasa,” katanya.
Katanya lagi, Aneka Walk bakal menjadi pesaing baharu kepada lokasi tumpuan orang ramai seperti Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur yang terkenal dengan pasaran tekstil dan persiapan musim perayaan.
“Di sini juga ada peminat masing-masing. Jadi dengan ada Aneka Walk seperti ini saya percaya dia akan lebih baik. Dari tahun-tahun mendatang saya percaya kita boleh gabungkan semua kemudahan ini.
“SACC Mall, Kompleks PKNS dan Plaza Alam Sentral yang kini sedang diubah suai, selepas tujuh bulan lagi kerja-kerja menaik taraf pusat beli-belah ini akan siap sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, bangunan Perangsang akan kembali beroperasi semula dengan industri perhotelan iaitu Hotel Grand Mercure di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Grand Mercure akan beroperasi pada Ogos nanti. Tapi saya rasa dia menambah lagi semua kelengkapan daripada pusat konvensyen, pusat retail dan jualan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















