KUALA LUMPUR – DAP menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh bertindak membersihkan dirinya sendiri susulan dakwaan ‘mafia korporat’ yang mengaitkan agensi tersebut.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, dalam keadaan integriti institusi penguatkuasaan utama negara dipersoalkan, siasatan bebas adalah satu keperluan, bukan pilihan.
“Walaupun SPRM telah menafikan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan berpunca daripada blog tanpa nama, dan mereka sememangnya berhak berbuat demikian namun penafian semata-mata adalah tidak mencukupi. Prinsip asas keadilan menetapkan tiada siapa boleh menjadi hakim dalam kes sendiri.
“Apabila integriti agensi pencegahan rasuah utama negara dipersoalkan, pelepasan yang dibuat sendiri tanpa siasatan bebas tidak memadai. Ia dengan sendirinya, tanpa tindakan lanjut, tidak banyak membantu memulihkan keyakinan awam mahupun pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, bagi memastikan ketelusan dan kredibiliti terpelihara, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan kerana ia mempunyai kuasa statutori untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta memanggil saksi dan mendapatkan dokumen berkaitan.
“Pilihan terbaik adalah dengan menubuhkan RCI kerana ia mempunyai kuasa statutori yang diperlukan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan bermakna,” katanya.
Menurut Gobind, dakwaan yang dibangkitkan adalah bersifat spesifik kerana menamakan individu, syarikat serta merujuk kepada kes yang boleh dikenal pasti, sekali gus mewujudkan asas munasabah untuk siasatan dimulakan segera.
“Pendirian kami kekal. Satu siasatan mesti dijalankan terhadap dakwaan yang dibuat dan siasatan itu hendaklah melalui RCI yang dilengkapi segala kuasa perlu bagi memastikan penyiasatan yang berkesan dan telus, dan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin,” tegasnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan parti itu akan mencadangkan dalam mesyuarat Kabinet supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ melibatkan SPRM.
Kabinet pada 13 Februari lalu turut membincangkan isu berkenaan dan bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berhubung kontroversi pemilikan saham yang didedahkan media antarabangsa.
Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain melabelkan SPRM sebagai mafia korporat kerana didakwa bersekongkol dengan unit siasatan badan itu. – MalaysiaGazette
















