KUALA LUMPUR — Isu jawatan Ketua Pembangkang perlu ditangani secara tertib dan mengikut saluran dalaman, bukan melalui kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan kesepaduan blok pembangkang, kata Ahli Parlimen Bachok, Shahir Sulaiman.
Beliau menegaskan, keutamaan ketika ini memastikan kestabilan dan kesepakatan dalam kalangan parti pembangkang, terutama ketika sidang Dewan Rakyat masih berlangsung dan pelbagai isu nasional memerlukan perhatian serius.
“Saranan saya kepada Ketua Penerangan Bersatu (Datuk Tun Faisal Ismail Aziz); ada baiknya kita ‘berpuasa’ daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan. Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shahir, isu jawatan seperti Ketua Pembangkang atau Ketua Whip bukan perkara yang tidak boleh dibincangkan secara terbuka, namun ia mesti dibuat secara berhemah dengan mengambil kira pandangan semua ahli Parlimen pembangkang serta pendirian parti masing-masing.
“Melainkan jika Bersatu inginkan jawatan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip, itupun kita boleh bincang, tiada masalah. Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli Parlimen dan pendirian parti, bukan serang secara terbuka,” tegasnya.
Beliau turut mendedahkan semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghubungi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang, dan menyifatkannya sebagai contoh amalan politik matang.
“Ini teladan yang baik. Kita bincang elok-elok. Difahamkan TGHH jawab, beliau tidak boleh buat keputusan sendiri, dan akan bawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat, insya-Allah,” katanya.
Shahir menegaskan, pihaknya tidak pernah membuat sebarang desakan agar kedudukan kerusi Pengerusi PN, sama ada baharu atau terdahulu, ditukar tempat sebagai tindak balas kepada polemik tersebut.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan, sidang Dewan Rakyat berbaki empat hari sahaja lagi dan tumpuan wajar diberikan kepada isu rakyat termasuk perjanjian tarif (ART), laporan audit, bajet tambahan, RUU Peguam Negara, RUU tempoh dua penggal Perdana Menteri, isu SPRM, ekonomi dan pendidikan.
“Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli Parlimen dan pendirian parti; bukan serang secara terbuka. Selebihnya, let the numbers speak for themselves,” katanya.
Semalam, Tun Faisal berkata Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang dipecat perlu dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.
Katanya, PN perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen.
Jelasnya, prinsip dalam tindakan itu adalah jelas yang mana apabila seseorang ahli Parlimen dipecat daripada parti, hubungan keahlian dengan parti tersebut terputus serta-merta. – MalaysiaGazette
















