KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengambil langkah proaktif memperkukuh tatakelola pengurusan dana sumbangan apabila mengadakan pertemuan strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur semalam.
Pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat sekaligus memastikan sistem pengurusan kewangan dan perolehan organisasi sentiasa ditahap terbaik selari dengan prinsip tatakelola baik.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, SPRM bukan sekadar badan penyiasatan, sebaliknya berperanan sebagai penggerak pendidikan dan pencegahan antirasuah yang komprehensif.
Jelasnya, MAPIM sebagai institusi yang menguruskan dana awam atau menerima sumbangan dalam jumlah besar dan berterusan berdepan risiko penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan sekiranya kawalan dalaman tidak diperkukuh.
“Kelemahan sistem kawalan dalaman boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan sumber dana termasuk risiko nepotisme atau konflik kepentingan dalam urusan perolehan dan pelaksanaan projek.
“Situasi ini berpotensi menjejaskan reputasi institusi serta menghakis keyakinan awam terhadap tahap keadilan dan ketelusan pengurusannya,” katanya dalam kenyataan selepas menerima kunjungan delegasi MAPIM di sini semalam.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menekankan kepentingan mekanisme semak dan imbang serta pengasingan tugas bagi menutup ruang rasuah secara sistematik sebelum sesuatu keputusan kewangan dan perolehan dimuktamadkan.
Sementara itu, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, pihaknya berhasrat mendapatkan bimbingan SPRM untuk memperluaskan kesedaran antirasuah dalam kalangan warga kerja organisasi itu.
Menurutnya, memandangkan MAPIM menguruskan sumber pendapatan daripada pelbagai pihak termasuk sumbangan awam dan peruntukan kerajaan, pengukuhan tatakelola adalah satu keperluan mendesak.
“Pengukuhan tatakelola pengurusan dana sumbangan adalah langkah penting bagi memastikan sistem dalaman diperkemas demi menjaga kepercayaan masyarakat serta memastikan setiap amanah yang diterima diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Pertemuan itu turut menggariskan keperluan kelulusan peringkat lembaga atau jawatankuasa yang bebas sebelum sebarang keputusan kewangan dan perolehan dimuktamadkan bagi menjamin ketelusan. – MalaysiaGazette
















