KULAI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Kilometer 30 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 10.25 pagi di kawasan lampu isyarat.
“Mangsa yang berusia 39 tahun menunggang motosikal jenis Honda hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang sedang berhenti semasa lampu isyarat merah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,* katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa menerusi talian 011-26081008 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.- MalaysiaGazette
















