Wan Shaharuddin Wan Ladin

KUALA LUMPUR – Seorang peguam berpengalaman mahukan penjelasan berhubung pertukaran Pengarah Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, kembali ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menerusi surat terbukanya kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoal mengapa pendakwa raya terbaik SPRM ditukarkan dalam situasi integriti agensi itu dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berada pada tahap terendah dan dipertikai masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menuntut penjelasan Peguam Negara kerana SPRM memerlukan khidmat pegawai-pegawai yang komited dalam memelihara kedaulatan undang-undang.

“Apa perlunya penukaran jawatan sebegini rupa, walhal integriti SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya berada pada tahap paling rendah dan dipersoal rakyat,” ujarnya dalam hantaran dalam laman Facebook, lewat malam tadi.

Dalam hantaran itu, beliau turut melampirkan surat arahan pertukaran bertarikh semalam ditandatangani Peguam Negara yang menyatakan arahan pertukaran berkuat kuasa 2 Mac ini.

Berdasarkan semakan MalaysiaGazette, Wan Shaharuddin, 55, telah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam SPRM dan mengendalikan sebilangan kes berprofil tinggi termasuk pemimpin-pemimpin politik.

Sebelum itu, beliau berkhidmat di AGC selama 24 tahun sebelum ditukarkan ke SPRM pada 2019.

Muhammad Rafique Rashid Ali

Kelmarin, Wan Shaharuddin hadir di Mahkamah Tinggi di sini mengendalikan pengurusan kes Jana Wibawa melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga mengetuai pendakwaan berprofil tinggi yang diketuainya termasuk kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menunggu keputusan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.

Wan Shaharuddin turut mengendalikan pendakwaan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang kini di peringkat akhir kes pendakwaan.

Menurut Muhammad Rafique, Wan Shaharuddin mempunyai pengalaman luas dalam pendakwaan kes berprofil tinggi serta dihormati rakan dan lawan.

“Kecekapan dan kemahiran beliau menangani pelbagai pendakwaan rasuah di mahkamah, saya percaya `second to none’.

“Yang Arif Peguam Negara perlu beri penjelasan tentang perkara ini. Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC sudah ada ramai pegawai di situ. Pada saya ia `surplus to requirement’.

“Ya, budi bicara Peguam Negara tentang pertukaran namun SPRM perlu ada pegawai yang credible (boleh dipercayai) supaya rakyat boleh kekal percaya pada agensi ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast