Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads disifatkan sebagai melampau dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam serta menggugat keharmonian negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu berkenaan yang  menggunakan nama akaun ryandaselva.

“Perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Serentak itu, menurut beliau, tindakan tegas telah diarahkan bagi memastikan perkara itu disiasat segera oleh pihak berkuasa berkaitan tanpa sebarang kompromi.

“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Tegasnya, sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali.

Awal hari ini, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan telah menahan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Sejak semalam, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran.

Malah, tangkap layar komen dia menghina Nabi Muhammad SAW turut tular.  – MalaysiaGazette.

UMPSA siasat status individu muat naik hantaran pijak al-Quran

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast