JOHOR BAHRU – Seorang remaja menderita sakit kulit genetik Epidermolysis Bullosa (EB) sejak lahir dan kini hampir 90 peratus tubuhnya berbalut akibat luka.
Keadaan itu membuatkan Muhammad Hazreel Mikhail Hizar, 15, tidak ke sekolah lagi kerana dikhuatiri boleh memudaratkan kerana pergerakannya terbatas walaupun penyakit dihidapinya tidak berjangkit.
Ibunya, Noor Halimaton Hashim, 45, berkata, biar pun fizikal anaknya itu tidak normal namun daya pemikiran Muhammad Hazreel adalah menyamai remaja sebayanya.
Katanya, Muhammad Hazreel yang hanya berpeluang ke tadika turut berhasrat untuk bersekolah seperti remaja lain selain suka bermain bola sepak.
“Kulit Muhammad Hazreel menjadi terlalu sensitif dan mengeluarkan gelembung air dan melecet sehingga membuatkan keadaan jari kaki dan tangannya yang sebelum ini normal mula bercantum akibat terlalu kerap melecet dan sakit kulitnya juga mula memakan jari-jarinya.
“Hampir semua jari tangan Hazreel sudah tiada akibat dimakan oleh penyakit kulitnya namun dia tidak pernah hilang semangat bagi terus melawan penyakitnya.
“Buat masa ini, aktiviti Muhammad Hazreel di rumah adalah bermain bola pada waktu lapang dan dia juga tidak ketinggalan menonton kejohanan bola sepak terutama bagi menyokong pasukan kegemarannya Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Bergson Gustavo Silveira da Silva dan Arif Aiman merupakan kegemarannya serta dia pernah menyatakan hasrat untuk menemukan mereka,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di PPR Johor Bahru di sini semalam.
Noor Halimaton berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu perlu mencuci lukanya dengan kebiasaan proses membersihkannya mengambil masa enam jam dan dilakukan dua hari sekali.
Katanya, sesetengah balutan berhampiran pahanya pula perlu digantikan dengan baharu pada setiap hari.
“Hampir setiap kali memandikannya, dia menangis kerana seluruh badannya akan berasa pedih, kemudian perlu memastikan tubuhnya sudah kering sepenuhnya sebelum saya membalutnya,” katanya.
Buat masa ini, Noor Halimaton hanya mampu bekerja sambilan sebagai ejen di syarikat Coway namun pendapatannya tidak menentu kerana bergantung kepada jualan dilakukan.
Menurutnya, dia juga dalam proses bercerai dengan suami turut menanggung dua anak yang kini melanjutkan pengajian di intitusi pengajian tinggi awam.
“Kedua-dua anak saya memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun saya masih perlu menanggung kos pemakanan mereka dan sebagainya.
“Bagi Muhammad Hazreel pula, selain membeli kain balutan, dia juga memerlukan lampin pakai buang setiap hari dan kos keseluruhan mencecah lebih RM600 sebulan.
“Saya bersyukur kerana menerima bantuan bulanan RM300 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Memang kami bukan hidup senang sehingga saya tidak mampu memikirkan soal persiapan Aidilfitri kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah keperluan Muhammad Hazreel dan kakak sulung serta abangnya, berusia 19 dan 20 tahun,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank Noor Halimaton 4525811409.- MalaysiaGazette
















