Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengesahkan tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, serta kumpulan pemimpin yang dipecat daripada Bersatu.

Malah, BN belum menerima sebarang permohonan untuk menyertai gabungan itu atau inisiatif ‘Rumah Baharu’.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan keanggotaan daripada kumpulan terbabit mahupun hasrat rasmi untuk menyertai konsep ‘Rumah Baharu’ yang diperkenalkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, konsep ‘Rumah Baharu’ bersifat terbuka dan tidak terhad kepada mana-mana kumpulan tertentu.

“Konsep Rumah Baharu kita terbuka dan tidak mengehadkan pada kumpulan tertentu. Ia terbuka kepada parti politik dan semua kumpulan dan mungkin juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

“Mereka yang memiliki hasrat, visi dan matlamat sama atas nama kesatuan boleh menyertai konsep Rumah Baharu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Hamzah yang  mempertimbangkan sama ada menyertai parti politik sedia ada atau menubuhkan parti baharu di bawah agenda ‘Rumah Baharu’.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan tersebut mengambil kira dua situasi berkenaan susulan dipecat daripada parti.

Pada 13 Februari lalu, Bersatu memecat 17 ahlinya, membabitkan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain Hamzah, antara yang dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Turut dikenakan tindakan ialah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub; dan Setiausaha Bersatu Sabah merangkap Ketua Bersatu Libaran, Yunus Nurdin.

Keahlian mereka dilucutkan kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, namun mereka diberi ruang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat pemecatan.

Mengulas sama ada BN akan meletakkan syarat sekiranya kumpulan berkenaan mahu menyertai gabungan itu, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyifatkan perkara tersebut sebagai hipotetikal.

“Takkanlah kita yang mahu memulakan. Ini urusan mereka, biarlah mereka selesaikan masalah berbangkit terlebih dahulu dan tentunya mereka ada penyelesaian tersendiri.

“Apabila ia berlaku nanti, kita akan menjawabnya kelak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast