KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) susut sebanyak 15.1 peratus RM1.71 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2025 (TK2025) berbanding RM2.02 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
TM menyatakan keuntungan lebih rendah itu memaparkan ketiadaan kredit cukai luar biasa yang diiktiraf pada tahun lepas serta pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) yang susut, namun sebahagiannya disokong oleh keuntungan daripada pelaburan kumpulan dalam dana teknologi.
“Perolehan hasil bagi TK2025 meningkat sebanyak 1.4 peratus atau RM159.6 juta kepada RM11.87 bilion berbanding RM11.71 bilion tempoh sama sebelumnya, walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar di seluruh sektor telekomunikasi.
“Momentum berterusan dalam data, ketersambungan dan perkhidmatan digital menyokong prestasi keseluruhan dan mencerminkan daya tahan asas pendapatannya yang pelbagai,” kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat (S4) TK2025, keuntungan bersih TM menyusut kepada RM222.49 juta berbanding RM730.63 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh ketiadaan kredit cukai sekali sahaja yang penting dan diiktiraf pada S4 TK2024.
Perolehan bagi suku dalam tinjauan meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM3.26 bilion berbanding RM3.05 bilion sebelumnya, mencerminkan penyampaian suku ke suku yang lebih kukuh pada pengguna ke pengguna (C2C) dan peniagaan ke pengguna (B2C) daripada momentum pelaksanaan yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata, TK2025 menunjukkan keupayaan kumpuan untuk berkembang sambil mengekalkan disiplin pelaksanaan yang kukuh dalam persekitaran yang mencabar.
“Kami terus mengukuhkan peranan kami sebagai penggerak digital negara, melabur dalam infrastruktur yang menyokong ekonomi digital Malaysia dan daya saing jangka panjang.
“Ini meletakkan kumpulan pada kedudukan yang lebih kukuh ketika kami bergerak ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Pelaburan ini selaras dengan strategi jangka panjang TM untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan ketersambungan, pusat data, awan, digital dan kecerdasan buatan di seluruh Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Mengenai prospek, TM berkata, ia akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan keutamaan strategiknya yang berdisiplin ke arah aspirasinya untuk menjadi kuasa digital menjelang 2030, sambil meletakkan Malaysia sebagai hab digital bagi rantau ini.
Kumpulan itu mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 14.5 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 4.0 sen sesaham bagi TK2025, kedua-duanya akan dibayar pada 27 Mac 2026.
Jumlah dividen bagi TK2025 berjumlah 31 sen sesaham, iaitu sama seperti tahun sebelumnya. – BERNAMA
















