Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto SADIQ SANI, 21 JANUARI 2026
Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah

KUALA LUMPUR – Isu anjing liar di Pulau Langkawi perlu ditangani segera kerana dikhuatiri menjejaskan imej dan sektor pelancongan pulau peranginan itu susulan dakwaan serangan terhadap seorang pelancong Eropah baru-baru ini.

Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, insiden yang didakwa berlaku minggu lalu itu tular di media sosial dan menunjukkan kecederaan serius dialami mangsa.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan satu malapetaka yang tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan pelancong asing.

“Seperti yang anda lihat, kecederaannya sangat parah. Ini berlaku minggu lalu kepada seorang pelancong Eropah. Perkara ini juga telah berulang kali dibangkitkan di Dewan ini, dan saya benar-benar berharap tiada sesiapa dalam kalangan kita di Dewan ini akan terkesan.

“Terlalu banyak anjing liar bukan sahaja di Langkawi tetapi di seluruh Malaysia,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya boleh bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menamatkan isu berkenaan secara menyeluruh.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man menjelaskan, perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya, sebaliknya perlu dibangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan di Langkawi.

“Ia bukan di bawah bidang kuasa kami,” katanya ringkas.

Pada Mac tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas diserang sekumpulan anjing di Kampung Dedek.

Sebelum ini, Mohd Suhaimi turut mencadangkan agar salah satu daripada 99 pulau dalam kawasan Parlimennya dijadikan pusat perlindungan khas bagi menempatkan anjing terbiar sebagai langkah jangka panjang menangani isu berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast