Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyokong aktiviti dakwah termasuk penganjuran program Street Dakwah di Bukit Bintang, namun pelaksanaannya perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, DBKL sentiasa bekerjasama rapat dengan jabatan serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap penganjuran program mendapat koordinasi sewajarnya.

Menurutnya, dalam konteks penganjuran Street Dakwah, DBKL turut mendapatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“JAKIM melalui bahagian dakwah dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), turut mendapatkan koordinasi DBKL untuk penganjuran program Street Dakwah di Bukit Bintang.

“JWP menyokong segala usaha dakwah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan akan memudahkan proses serta penganjuran aktiviti dakwah di Kuala Lumpur mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sesi Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta pendirian Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan berhubung pelaksanaan program berbentuk advokasi di ruang awam yang tidak mengganggu ketenteraman awam di ibu negara, selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas soalan tambahan berhubung dakwaan rampasan bahan Street Dakwah, Hannah menjelaskan, isu berkenaan tidak melibatkan bahan dakwah, sebaliknya membabitkan kanopi atau khemah yang dipasang.

“Saya ingin membetulkan kenyataan Yang Berhormat bahawa Datuk Bandar yang baharu ini merampas bahan-bahan Multiracial Reverted Muslim (MRM). Ini adalah satu fitnah dan kita kena bersangka baik dalam bulan Ramadan.

“DBKL sudah mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini dan saya tidak mahu mengulanginya. Salinan kenyataan media akan diberikan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan isu membabitkan aktiviti dakwah jalanan oleh Multiracial Reverted Muslim (MRM) susulan tindakan DBKL merampas reruai di sekitar Bukit Bintang, yang kemudiannya mencapai penyelesaian.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam hantaran di Facebook memaklumkan beliau telah bertemu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin bagi mengadakan pertemuan susulan isu membabitkan reruai Street Dakwah MRM yang dirampas pada 17 Februari lalu.

Tindakan itu diambil selepas DBKL merampas khemah serta beberapa bahan berkaitan pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina atas alasan menghalang laluan pejalan kaki, selain mendakwa telah menunggu wakil MRM lebih 30 minit sebelum bertindak mengikut peruntukan undang-undang keselamatan awam. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast