Seorang pegawai Imigresen yang cedera dirempuh warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, awal pagi tadi.

PUTRAJAYA – Seorang pegawai Imigresen yang cedera dirempuh warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, awal pagi tadi sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pegawai terbabit mengalami patah kaki kiri dalam operasi yang bermula jam 3.15 pagi itu.

“Dalam operasi berkenaan dengan keadaan di pusat hiburan yang kelam kabut, pengunjung mabuk hingga bertindak agresif dengan ada yang lari menyebabkan salah seorang daripada anggota kita dirempuh oleh pengunjung di situ.

“Keadaan itu menyebabkan pegawai terbabit terjatuh hingga cedera, dia kini sedang dirawat di HKL dan mengalami patah kaki kiri namun sudah berada dalam keadaan stabil serta perlu mengambil masa untuk pulih,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menghadiri program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini hari ini.

Beliau berkata dalam sidang media selepas menghadiri program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan menyerahkan bubur lambuk kepada kakitangan dan pelanggan di sini hari ini.

Tambah Zakaria, pegawai terbabit juga akan membuat laporan polis berkaitan insiden itu bagi mengambil tindakan selanjutnya.

Terdahulu media melaporkan, pegawai Imigresen terbabit cedera dirempuh warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, awal pagi tadi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman, dilaporkan berkata, dalam operasi bermula 3.15 pagi itu, pegawai terbabit disyaki patah kaki kiri dan suspek kemudiannya melarikan diri.

“Suspek bertindak agresif semasa keadaan kelam-kabut di tangga premis sehingga pegawai kami terjatuh. Pegawai itu dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil,” katanya.

Basri berkata, operasi membabitkan 85 pegawai dan anggota termasuk 15 daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dengan 48 daripada 98 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan ialah tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dengan mereka terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan beberapa negara Afrika.

Selain itu, Basri berkata dua lelaki Nigeria ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai pengacara lagu (DJ).

“Mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast