Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat bersama Google secara atas talian di Perdana Putra. 26 Februari 2026. foto: Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR –  Perdana Menteri berkata, pelaburan Google bergerak dengan kemajuan yang memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaburan ini merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia.

“Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka menyokong penghasilan kesan ekonomi berjumlah AS$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

“Pelaburan strategik ini adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu Anwar berkata,  beliau mengadakan panggilan sidang video bersama Ruth Porat, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet & Google, serta pasukannya, pagi tadi.

Jelasnya, antara yang dibincangkan ialah perkembangan pelaburan AS$2 bilion oleh Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024.

“Pelaburan ini merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia,” katanya.

Menurut Anwar, pelaburan berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).

Sehubungan itu beliau turut mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan.

Sebelum ini Perdana Menteri pada 1 Oktober 2024 ketika menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google bernilai AS$2 bilion (RM8.24 bilion) berkata pelaburan berkenaan dijangka bakal bewujudkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast