KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa kerajaan telah “mengiktiraf sepenuhnya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)” perlu diperjelaskan kerana Kementerian Pendidikan tidak pernah secara jelas menyatakan perkara tersebut.
Lantaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA, Ong Chee Siang juga mahu pemimpin DAP seperti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching mempertahankan dakwaan mereka dan mengelakkan daripada mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, dalam sidang Parlimen baru-baru ini, beberapa Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa; Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly, dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail telah membangkitkan persoalan berhubung pengiktirafan UEC.
Namun, berdasarkan jawapan bertulis Parlimen oleh Kementerian Pendidikan, tidak terdapat sebarang sebutan mengenai pengiktirafan UEC.
Sebaliknya, kementerian menegaskan, status quo kekal tidak berubah, dengan pendirian kerajaan terus berpandukan dasar pendidikan negara, peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), serta pengumuman rasmi Perdana Menteri pada 20 Januari 2026, ujar Chee Siang.
Bahkan, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan dengan jelas tanpa mengira sama ada pelajar belajar di sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa atau sekolah agama, warganegara Malaysia yang mahu memasuki sistem pendidikan tinggi nasional mesti menduduki peperiksaan bahasa Melayu dan xejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dan, perkara ini tidak pernah disifatkan sebagai pengiktirafan UEC, katanya lagi.
Chee Siang berkata, ini menunjukkan UEC tidak dimasukkan ke dalam rangka teras sistem pensijilan nasional, dengan SPM kekal sebagai penanda aras nasional bersama.
Hujahnya lagi, jawapan bertulis Kementerian Pendidikan dengan jelas menunjukkan kerajaan tidak mengiktiraf UEC dan pendirian dasarnya kekal tidak berubah.
“Oleh itu, dakwaan yang disebarkan oleh DAP yang mencadangkan UEC telah pun diiktiraf adalah tidak mempunyai asas undang-undang, sokongan dasar dan pengesahan institusi.
“Isu pengiktirafan UEC tidak seharusnya dikaburkan oleh kenyataan politik yang bercanggah. Kerajaan mesti menyatakan pendiriannya dengan jelas dan mengemukakan hala tuju dasar yang telus agar pelajar, ibu bapa dan pendidik tidak lagi dibiarkan dalam ketidakpastian,” menurutnya.
Tambah beliau lagi, DAP mesti berhenti bergantung kepada retorik politik dan mengakui bahawa isu pengiktirafan UEC masih belum diselesaikan.
“Jika DAP benar-benar ikhlas dalam memajukan pendidikan Cina, ia seharusnya meneruskan pembaharuan institusi yang tulen dan terobosan dasar di peringkat Kabinet, bukannya bergantung kepada slogan atau naratif publisiti,” kata beliau lagi.
Dalam hal berkaitan, Kerajaan Sarawak telah menunjukkan pendekatan yang lebih terbuka dan pragmatik terhadap pengiktirafan UEC, dengan menyediakan ruang institusi yang lebih luas untuk pendidikan Cina.
Lantaran itu, katanya, Kerajaan Persekutuan wajar mencontohi Sarawak dengan meletakkan kepelbagaian dan keterangkuman pendidikan sebagai teras dasar nasional serta mengambil langkah konkrit ke arah pembaharuan menyeluruh, bukannya terus menangguhkan perkara ini. – MalaysiaGazette
















