KUALA LUMPUR – Tiga hari selepas didakwa, suami selebriti Datin Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman hadir lagi ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini mewakili syarikat AUF MBZ yang diasaskannya bagi menghadapi pertuduhan berniaga sekuriti tanpa lesen.
Mahadi, 43, yang mewakili AUF MBZ Consortium PLT (AUF MBZ) selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Isnin lalu, ahli perniagaan itu didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai wakil syarikat berkenaan, berniaga dalam sekuriti tanpa lesen.
Bagi pertuduhan hari ini, syarikat tersebut didakwa menjalankan urusan aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti walhal ia bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga sekuriti.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di No. 70, Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya dekat sini antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024.
Pertuduhan dibuat bawah Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum bawah Subseksyen 58(4) akta sama.
Sekiranya didapati bersalah, syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), K. Mageswary berkata, tiada jaminan dicadangkan kepada OKS kerana pertuduhan dibuat terhadap syarikat, bukannya individu.
Beliau memohon kedua-dua kes dipindahkan ke mahkamah berlainan iaitu di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail untuk dibicarakan bersama kes terdahulu.
Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili syarikat tersebut tidak membantah permohonan itu.
Izralizam kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan sebutan kedua-dua kes pada 10 April ini. – MalaysiaGazette
















