Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Ops Khas Pagar Laut MARITIM Malaysia di Pusat Hidrografi Nasional, Lebuh Sungai Chandong, Pulau Indah. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 FEBRUARI 2026

PELABUHAN KLANG – Sebanyak 863 kes cubaan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya dipatahkan menerusi Op Khas Pagar dalam tempoh lima tahun sejak 2020.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia membabitkan seramai 3,700 individu ditahan dalam operasi yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Dari statistik ini jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah berkompromi dengan mana-mana sindiket yang menjadikan laut sebagai pintu belakang untuk memasuki negara ini.

“Operasi ataupun tugasan Maritim Malaysia ini mengawal kawasan samudera kita yang hampir mencecah 600 ribu kilometer persegi ini. Kita ada rekod tahunan dan hasil penelitian itu, kita mempunyai data terhadap lokasi hot spot ini.

“Ada kecenderungan di kalangan pihak yang ingin masuk negara kita dengan jalan tidak sah, mereka menjangkakan bawah musim perayaan ini anggap sebagai mengendurkan aspek penguasaan. Jadi andaian mereka itu ternyata silap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Op Khas Pagar Laut Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Perairan Selangor atas Kapal Maritim Tun Fatimah, hari ini.

Tambah Saifuddin, sepanjang tempoh sama Maritim Malaysia turut merekodkan sebanyak 344 tangkapan pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan hampir RM106,7 juta.

“Sementara itu, negeri tertinggi yang mencatat rekod ke la tangkapan adalah di Sabah iaitu 90 kes diikuti Perak (71) dan Johor (52) kes untuk sepanjang tempoh 2020 hingga 2025.

“Insiden yang banyak berlaku adalah penyeludupan barangan harian, senjata dan dadah menggunakan laluan laut dengan pelbagai taktik seperti transporter dan pengintipan dilakukan sindiket ini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, sehingga kini tiada sebarang kes penculikan untuk tebusan berlaku di Sabah sejak 2020.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata seramai 800 anggota dan pegawai akan terlibat dengan 275 aset dalam Op khas Pagar Laut kali ini yang bermula esok hingga 10 April depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast