Abbas Araghchi. foto Anadolu Agency

TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menafikan dakwaan Presiden Donald Trump, bahawa negaranya sedang membangunkan peluru berpandu yang mampu mencapai Amerika Syarikat.

Tegasnya, program peluru berpandu Iran semata-mata untuk tujuan mempertahankan diri.

Beiiau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama India Today di Tehran, beberapa jam sebelum berlepas ke Geneva, Switzerland, untuk bertemu wakil Amerika Syarikat, Steve Witkoff dan Jared Kushner, keesokan harinya bagi pusingan ketiga rundingan mengenai program nuklear Iran.

Dalam ucapan State of the Union di Washington, Trump mendakwa Iran “sedang berusaha membina peluru berpandu yang tidak lama lagi boleh mencapai Amerika Syarikat.”

Menjawab soalan India Today mengenai sumber dakwaan Trump itu, Menteri Luar Iran berkata, Trump sering membuat tuduhan berita palsu dan kini “beliau sendiri menjadi mangsa berita palsu”.

Araghchi menegaskan, Iran tidak membangunkan peluru berpandu dengan jarak melebihi 2,000 kilometer.

“Kami tidak membangunkan peluru berpandu jarak jauh, dan kami sendiri secara sengaja mengehadkan jarak peluru berpandu kami di bawah 2,000 kilometer kerana kami tidak mahu mengancam sesiapa.

“Kami tidak mahu ia menjadi ancaman global. Ini semata-mata untuk mempertahankan diri. Peluru berpandu kami bersifat pertahanan. Ia hanya untuk membina keupayaan pencegahan dan membantu kami mempertahankan diri,” kata Araghchi.

Beliau menambah, contoh penggunaan peluru berpandu Iran untuk mempertahankan diri adalah semasa perang pencerobohan selama 12 hari yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat terhadap negara itu pada Jun tahun lalu.

“Kami tidak memulakan perang itu. Ia dimulakan oleh Israel dan kemudian Amerika. Kami hanya mempertahankan diri. Bagi mereka, itu adalah tindakan pencerobohan yang tidak sah. Bagi kami, ia adalah tindakan mempertahankan diri yang sah.”

Menteri Luar Iran itu turut mengulas mengenai rundingan yang sedang berlangsung antara Iran dan Amerika Syarikat, serta pengumpulan kekuatan tentera Washington berhampiran Iran dan ancaman tindakan ketenteraan sekiranya rundingan gagal.

Beliau berkata, Iran bersedia menghadapi perang dan juga keamanan, sambil menegaskan, satu perjanjian yang adil berada dalam jangkauan, dengan merujuk kepada kemajuan dalam dua pusingan perbincangan yang diadakan bersama wakil Amerika di Muscat dan Geneva pada awal Februari.

“Saya fikir satu perjanjian yang adil, seimbang dan saksama boleh dicapai, dan kita mampu melaksanakannya. Sudah tentu, angkatan tentera kami bersedia menjalankan tugas mereka dan kami tahu bagaimana untuk mempertahankan diri. Namun, itu tidak bermakna Iran mahukan perang; sebaliknya, negara itu mahu mengelakkan perang.

Araghchi juga berkata “tiada pilihan ketenteraan” bagi program nuklear aman Iran, sambil menegaskan negara itu bersedia menghapuskan sebarang kebimbangan terhadap program tersebut tanpa mengorbankan haknya untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman.

“Kami bersedia menjawab soalan. Kami bersedia menghapuskan kebimbangan, tetapi kami tidak bersedia melepaskan hak kami untuk penggunaan teknologi nuklear secara aman.”

Dalam temu bual itu, Araghchi turut menegaskan, Israel cuba menarik Amerika Syarikat ke dalam perang dengan Iran dan memberi amaran bahawa sebarang konflik sedemikian akan merebak ke seluruh rantau ini, memandangkan pangkalan-pangkalan AS yang disifatkannya sebagai sasaran sah bertaburan “di pelbagai tempat di rantau ini.”

“Tidak akan ada kemenangan bagi sesiapa. Ia akan menjadi perang yang memusnahkan… ia adalah senario yang sangat mengerikan sehingga saya tidak mahu bercakap mengenainya,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast