KUANTAN – Minat dan kasih mendalam terhadap kucing mendorong pasangan suami isteri Muhammad Arvin Abdullah, 43, dan Nor Iwani Shahudin, 38, membuat keputusan menyelamatkan kucing jalanan dan menempatkan mereka di kediaman teres dua tingkat pasangan itu di sini.
Menurut Muhammad Arvin, tanpa sedar, hampir 500 ekor kucing, baik fizikal sempurna mahupun cacat telah dipelihara mereka berdua dalam tempoh enam tahun sejak pandemik Covid-19.
“Waktu tu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa kerana pandemik dan kami terfikir bagaimana kucing-kucing jalanan ni nak makan kerana tiada orang boleh keluar berniaga dan beri makan.
“Selepas itu, kami ronda-ronda beri makan kucing-kucing yang kelihatan sangat kurus kerana kelaparan dan dahaga. Mula bawa balik ke rumah. Dan, bermula itu sebanyak 28 ekor kucing kami pelihara beri makan di rumah ini sehingga kini hampir 100 ekor yang masih hidup,” katanya ketika ditemui di Sekilau, di sini baru-baru ini.

Muhammad Arvin yang mesra dipanggil Boy mengakui terpaksa menggunakan sebahagian pendapatan bulanan mereka untuk kos penjagaan haiwan-haiwan tersebut, selain berkongsi rumah yang didiami sejak tahun 2011.
Katanya, dia telah membelanjakan wang simpanan sehingga RM30,000 dan menjual tiga buah kereta miliknya bagi menampung keperluan haiwan kesayangan mereka.
Beliau menyifatkan ia merupakan pengorbanan mereka berdua demi menyelamatkan kucing-kucing jalanan yang tiada tempat untuk berlindung.
“Kami membelanjakan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan termasuk makanan, pasir, rawatan dan keperluan lain.
“Agak buntu juga memandangkan saya akan berhenti kerja akhir bulan ini atas sebab tertentu. Lepas ini mungkin bergantung dengan pendapatan sebagai mekanik sambilan, selain gaji isteri sebagai pekerja di sebuah klinik swasta di sini untuk menampung keperluan penjagaan kucing-kucing ini,” luahnya.

Katanya, dia dan isteri mempunyai rutin harian yang perlu dipatuhi iaitu memberi makan, membersih sangkar termasuk bekas pasir najis kucing-kucing itu dan membasuh lantai rumah bermula seawal jam 9 pagi.
Selepas kerja pula, kedua-dua pasangan yang belum mempunyai cahaya mata itu akan keluar ke kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti terdapat kucing-kucing dan anjing-anjing tidak bertuan untuk memberi makan.
“Begitulah rutin kami setiap hari. Kalau pergi ke mana-mana walaupun pulang kampung, terpaksa balik hari demi kucing-kucing ini,” jelasnya.

Bercerita mengenai pengalaman paling tidak boleh dilupakan, Muhammad Arvin yang merupakan seorang muallaf memberitahu, dia pernah menyelamatkan seekor kucing yang cedera teruk di Taman Gelora, di sini dalam keadaan hujan lebat.
Ketika ditemui, kucing dewasa itu cedera teruk di bahagian kepala, patah kaki dan tulang rusuk seperti baru dilanggar kenderaan.
“Walaupun nampak seolah-olah tiada harapan untuk hidup, saya tetap bawa ke klinik untuk dirawat.
“Hari-hari saya pergi ke klinik walaupun kucing itu berada dalam keadaan koma selama 11 hari. Alhamdulillah, selepas dirawat kucing itu sembuh sepenuhnya kecuali matanya buta dan kami sempat menjaganya dengan penuh kasih sayang selama 10 bulan sebelum ia mati,” katanya.
Arvin berkata, dia menyimpan impian untuk membina sebuah taman kucing agar kesemua haiwan tersebut dalam bergerak bebas seperti kucing-kucing lain jika dikurniakan lebih rezeki. – MalaysiaGazette
















