KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) merasmikan pejabat satelit Ehime University di Borneo Medical and Health Research Centre (BMHRC), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan universiti berkenaan, baru-baru ini.
Penubuhan pejabat satelit itu dilihat sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang penyelidikan, akademik dan inovasi kesihatan global.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen jangka panjang dalam memperluas kolaborasi antarabangsa khususnya dalam bidang kepentingan serantau.
Menurut beliau, kerjasama antara UMS dan Ehime University sebelum ini telah dilaksanakan menerusi projek Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS) berkaitan kawalan mampan malaria zoonotik.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Datuk Dr. Mohd Yusof Hj. Ibrahim dalam ucapannya berkata, pejabat satelit itu dijangka mempergiat usaha penyelidikan bersama serta memperkukuhkan pertukaran ilmu dan kepakaran antara institusi.
Penubuhan pejabat berkenaan turut dijangka meningkatkan kehadiran akademik Jepun di rantau Borneo serta memperluas jaringan penyelidikan kesihatan global. – MalaysiaGazette
















