Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori dalam di Jalan Cheras dari arah Taman Midah menghala ke Taman Connaught,di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTK KL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 2.06 petang.

“Semakan mendapati mangsa berusia 34 tahun merupakan anggota polis yang bertugas di Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori serta sebuah lagi kenderana yang masih belum dikenal pasti.

“Siasatan awal mendapati, mangsa sedang bergerak lurus dalam keadaan aliran trafik sesak dan dipercayai mencelah di antara dua lorong kenderaan.

“Kemudian, sebuah kenderaan di hadapan membrek secara mengejut menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal lalu terjatuh dan termasuk ke bawah lori yang sedang bergerak di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Manakala pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan saringan air kencing akan dijalankan manakala ujian alkohol mendapati pemandu berkenaan negatif,” ujarnya.

Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast