Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan proses keadilan dalam kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin berjalan dengan sewajarnya.

Pusat Komunikasi Korporat, Pejabat Strategi dan Kesohoran Global UTM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya proses perundangan negara serta berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

Dalam masa yang sama, tambahnya, UTM akan terus bersama keluarga Allahyarham Syamsul Haris serta warga universiti yang terkesan sepanjang tempoh yang sukar ini.

“Universiti memohon semua pihak memberi ruang kepada proses perundangan untuk berjalan dengan adil,” katanya.

Terdahulu, tiga jurulatih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi, Johor pukul 9 pagi tadi, atas pertuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang pelatih Palapes UTM, tahun lalu.

Tiga tertuduh itu, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30; dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima semula kertas siasatan kes itu daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) Selasa lalu, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kesalahan membunuh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast