Ahli perniagaan, Albert Tei berucap pada Himpunan Tangkap Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 27 FEBRUARI 2026.

PUTRAJAYA –  Himpunan Tangkap Azam Baki hari ini mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sru Azam Baki.

Perhimpunan itu disertai kira-kira lebih 50 orang peserta yang mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai simbol solidariti dan bantahan.

Ahli perniagaan, Albert Tei yang mengetuai perhimpunan itu berkata, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat perlu mengetuai badan itu dan bukannya Peguam Negara seperti mana berlaku dalam Jawatankuasa Siasatan Khas.

Ahli perniagaan, Albert Tei bercakap pada sidang media semasa Himpunan Tangkap Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 27 FEBRUARI 2026.

“Kita menuntut RCI ditubuhkan segera. Kita tidak mahu dengar cadangan lagi. Tiada jawatankuasa khas.

“Kami memohon Tun Tengku Maimun mengetuai jawatankuasa ini untuk menyiasat Azam Baki,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, aktivis politik, dikenali sebagai Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah berkata, himpunan itu diadakan bagi menuntut ketelusan, khususnya selepas dakwaan terhadap Azam menjadi perhatian meluas termasuk laporan media antarabangsa.

Katanya, isu tersebut membabitkan integriti institusi dan memberi kesan kepada persepsi terhadap usaha memerangi rasuah.

Pempengaruh dan aktivis politik, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga berucap pada Himpunan Tangkap Azam Baki di hadapan Bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 27 FEBRUARI 2026

“Tuduhan ni tuduhan berat. Ia berkenaan dengan seorang Ketua Pesuruhjaya Malaysia yang patutnya menjaga integriti tetapi akhirnya meleset.

“Itu yang paling adil. Kalau tidak, tubuh RCI hanya dengan cara itu kita boleh puaskan hati semua pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad berpandangan isu berkenaan berpunca daripada kelemahan sistem sedia ada, khususnya dalam aspek pelantikan dan kuasa pendakwaan.

Menurutnya, struktur yang terlalu bergantung kepada kuasa eksekutif boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan.

Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad bercakap ketika ditemubual pada Himpunan Tangkap Azam Baki di hadapan Bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 27 FEBRUARI 2026

“Sepatutnya pengarah SPRM dipilih ikut pilihan raya. Pengarah di peringkat pusat ikut pilihan raya Parlimen, pengarah negeri dipilih dalam pilihan raya DUN.

“Jadi setiap negeri ada ketua SPRM sendiri untuk portfolio masing-masing. Bila macam ni, setiap pengarah bebas dan boleh dakwa pengarah lain kalau ada salah laku,” jelasnya.

Himpunan tersebut dipantau dengan kehadiran anggota polis dan keadaan terkawal.

Baru-baru ini, Bloomberg mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain melabelkan SPRM sebagai mafia korporat kerana didakwa bersekongkol dengan unit siasatan badan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast