KAJANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
“Kita sudah bincang tadi elok…nanti akan ada kenyataan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumat di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini hari ini.

Anwar ditanya berkenaan desakan berterusan DAP supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi pemilikan saham melibatkan Azam serta dakwaan kewujudan mafia korporat di dalam SPRM.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata, Kabinet telah membincangkan dakwaan terkini melibatkan SPRM dan bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat Azam berhubung kontroversi pemilikan sahamnya.
Namun, menurut Anthony Loke, langkah itu sahaja tidak mencukupi.
Anthony Loke turut berpendapat dakwaan mengenai `mafia korporat’ merupakan isu yang jauh lebih serius berbanding kontroversi pemilikan saham.
Sebelum ini, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur. – MalaysiaGazette
















