KUALA LUMPUR – Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) merupakan rakan strategik pengurusan pelajar yang sah bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berdasarkan perjanjian rasmi yang telah dimeterai sejak 2017 melalui perjanjian UKM-KSBB.
Pengurus KSBB, Dr. Muhammad Hafiz Md Saad berkata, perjanjian itu adalah mengikut model perjanjian pertama antara UKM dengan syarikat swasta lain yang ditandatangan pada 2015.
Sepanjang tempoh itu, ujarnya, KSBB telah memainkan peranan aktif dalam mempromosikan program akademik UKM dan membantu proses kemasukan pelajar ke UKM.
Tambah beliau, melalui kerjasama itu, agihan telah dipersetujui pada nisbah 47:53 (47 peratus UKM dan 53 peratus KSBB) untuk Program Sarjana Pendidikan dan untuk Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), nisbah adalah pada kadar 45:55 (45 peratus UKM dan 55 peratus KSBB).
“Nisbah ini bermaksud UKM akan mendapat agihan bersih manakala semua kos program ditanggung oleh KSBB seperti kos promosi, pemasaran, pengurusan pelaksanan program, pengurusan kewangan, bayaran honorarium pengajaran pensyarah dan lain-lain lagi yang dijalankan oleh KSBB.
“Perlu ditegaskan bahawa setelah ditolak perbelanjaan pengurusan program, pihak KSBB mendapat keuntungan bersih sebanyak 10 hingga 15 peratus selari dengan prinsip asas penubuhan sesebuah koperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu bagi menjawab penegasan UKM hari ini yang mana KKSB tiada kaitan dengan universiti itu dan koperasi yang mempunyai kedudukan rasmi dan hubungan institusi dengan UKM hanya Koperasi UNIKEB Berhad serta Koperasi Alumni UKM.
Sementara itu, menurut Muhammad Hafiz, sehingga kini melalui perjanjian dengan UKM, KSBB telah berjaya membawa masuk seramai 4,845 pelajar Sarjana Pendidikan dan 18,360 pelajar DPLI ke UKM.
Jelasnya, usaha itu secara langsung telah menjana hasil bersih (nett revenue) berjumlah RM90.56 juta kepada UKM dan pencapaian tersebut membuktikan komitmen KSBB dalam menyokong kelestarian kewangan dan reputasi akademik UKM.
Sementara itu, menjawab mengenai penggunaan logo UKM, Muhammad Hafiz berkata, penggunaannya dalam bahan pemasaran KSBB adalah semata-mata bagi tujuan promosi bagi Program Sarjana Pendidikan dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
Ujarnya, adalah menjadi amalan standard dalam industri pengambilan pelajar untuk memaparkan logo institusi bagi memastikan bakal pelajar mendapat maklumat yang jelas mengenai universiti yang dipromosikan.
Tambah beliau, tanpa penggunaan identiti visual tersebut, proses pemasaran akan menjadi tidak efektif dan boleh mengelirukan bakal pelajar mengenai kredibiliti program yang ditawarkan.
“Penggunaan logo UKM bagi tujuan promosi tidak pernah dilakukan bagi tujuan penipuan identiti, penyamaran atau sebarang bentuk salah guna yang boleh menjejaskan imej UKM sepertimana yang cuba digambarkan pihak-pihak tertentu.
“KSBB sentiasa beroperasi sebagai entiti profesional dengan kekal menghormati hubungan kerjasama yang telah lama terjalin,” katanya. – MalaysiaGazette

















UKM tak boleh buat sendiri kaa? UKM tak de unit bisnes kaa? UKM tak de koperasi kaa? Kenapa perlu lantik agen swasta sbg org tengah? pelik laa UKM ni