KUALA LUMPUR – Padah memandu melawan arus hingga menyebabkan kemalangan melibatkan beberapa kenderaan, seorang lelaki ditahan dalam kejadian di Jalan Dato Abu Bakar 16/1, Petaling Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pemandu kereta jenis Honda CRV itu ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.15 petang hari ini.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku 11.28 pagi apabila Honda CRV berwarna merah dipandu secara melawan arus sebelum terlibat perlanggaran dengan beberapa kenderaan lain yang melalui jalan itu.
“Bagaimanapuan, kesemua pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang jalan raya.
Orang ramai yang menyaksikan atau berada di lokasi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Najib Mohd Azaman di talian 012-3526147 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















