Wong Pang Sang, 64, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh seekor anjing liar menggunakan mercun, Januari lalu.

BATU GAJAH – Seorang pemilik restoran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh seekor anjing liar menggunakan mercun, Januari lalu.

Tertuduh, Wong Pang Sang, 64, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Azlin Zeti turut memerintahkan Wong menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh anjing liar itu dengan membaling mercun di hadapan sebuah restoran di Jalan Seroja, Taman Pusing Baru di Pusing sekitar jam 7.30 malam, 28 Januari lalu.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey manakala tertuduh diwakili peguam, Choong Hui Yean.

Terdahulu, Choong memohon hukuman denda rendah berjumlah RM500 atas beberapa faktor antaranya menyifatkan tertuduh juga adalah ‘mangsa’ kerana anjing itu sudah berulang kali mengejar tertuduh sebelum kejadian sehingga malah pernah mengalami kecederaan akibat terjatuh motosikal.

Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh tertuduh menghdapi kebimbangan melampau (anxiety disorder) yang memerlukan pengambilan ubat serta mendakwa kematian anjing itu tidak disengajakan memandangkan ia sendiri menggonggong mercun bola yang dilemparkan oleh tertuduh.

Bagaimanapun, Monisha membantah dan meminta hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh supaya memberi mesej pengajaran berikutan kes penganiayaan haiwan yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Majistret turut memerintahkan supaya barang kes termasuk pemetik api serta enam unit mercun bola yang dirampas dari tertuduh, dilupuskan.

Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast