Orang ramai beratur untuk mengisi bekas dengan air dari sebuah tangki air mudah alih di kem pelarian Palestin Nuseirat, utara Deir al-Balah di bahagian tengah Semenanjung Gaza, pada 29 Januari 2026. Foto AFP

RAMADAN sepatutnya menjadi bulan damai. Bulan menyatukan hati dan memperhalusi jiwa. Namun menjelang Ramadan 2026, dunia Islam sekali lagi berdepan persoalan besar. Adakah kita sedang berdiri di ambang konflik yang lebih dahsyat daripada sebelumnya?

Sejak dahulu, umat Islam sering diingatkan tentang sabda Nabi Muhammad SAW mengenai peperangan besar pada akhir zaman. Antaranya riwayat tentang Al Malhamah Al Kubra, pertempuran besar yang menggoncang dunia sebelum tibanya kiamat.

Para ulama menghuraikannya sebagai konflik berskala luas yang mengubah peta kuasa global. Namun persoalannya, adakah apa yang berlaku hari ini sekadar episod politik biasa, atau sedang menuju ke arah yang lebih membimbangkan?

Nama Palestin tidak pernah terpisah daripada perbincangan umat. Kota suci seperti Baitulmaqdis mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah dan agama. Hari ini, kawasan seperti Rafah dan seluruh bumi Palestin terus bergolak. Konflik datang silih berganti tanpa noktah yang jelas.

Dalam masa yang sama, agenda pembangunan dan peluasan pengaruh oleh Israel bersama sekutunya bergerak secara tersusun. Dari sudut geopolitik dan ketenteraan, rantau itu semakin kompleks.

Ia bukan lagi sekadar isu dua pihak. Ia melibatkan kuasa besar, kepentingan strategik dan naratif agama yang bercampur menjadi satu. Sekilas pandang, Palestin seakan sudah lama menjadi medan ujian dunia. Setiap letusan konflik menarik perhatian global.

Setiap gencatan senjata pula sekadar meredakan sementara. Keadaan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat. Adakah bumi itu sedang menuju satu pertempuran yang lebih besar seperti yang sering dibicarakan?

Namun dalam membicarakan hadis akhir zaman, kita perlu cermat. Tafsiran tidak boleh dibuat berdasarkan emosi semasa. Sejarah menunjukkan setiap generasi merasakan zaman merekalah yang paling hampir dengan pengakhiran. Sedangkan hakikatnya, hanya Allah SWT yang mengetahui ketentuan sebenar. Apa yang lebih wajar dinilai ialah sikap kita sendiri.

Isu Palestin sering menjadi sentimen bermusim. Ketika krisis memuncak, suara kita lantang. Media sosial dipenuhi doa dan kecaman. Namun apabila keadaan kelihatan reda, perhatian juga perlahan-lahan hilang.

Solidariti bertukar menjadi simpati sementara. Kita mudah berasa jauh kerana tidak melihat penderitaan itu di depan mata. Kita tidak mendengar dentuman bom di halaman sendiri. Lalu hati menjadi kurang tersentuh. Kita menganggap ia tragedi orang lain, bukan amaran untuk kita.

Hakikatnya, dunia hari ini saling berkait. Konflik di satu wilayah boleh merebak dalam pelbagai bentuk. Krisis ekonomi, gelombang pelarian, ketegangan antara kuasa besar dan perpecahan masyarakat boleh melangkaui sempadan.

Ramadan sepatutnya menjadi ruang muhasabah. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia latihan membina empati dan kesatuan. Jika dalam bulan yang mendidik jiwa ini pun kita masih gagal menyatukan pendirian dan memperkukuh kekuatan umat, maka di manakah letaknya nilai tarbiah yang kita banggakan setiap tahun?

Ramadan 2026 mungkin tetap meriah di tanah air. Bazar dipenuhi pengunjung. Juadah melimpah di meja. Ucapan selamat berpuasa membanjiri ruang maya. Namun di sudut lain dunia, ada insan berbuka dalam ketakutan dan bersahur dalam bayang maut.

Kita boleh menutup televisyen. Kita boleh menatal skrin dan beralih kepada cerita lain. Tetapi mereka yang berada di medan konflik tidak mempunyai pilihan itu. Persoalan sebenar bukan semata-mata sama ada Rafah atau seluruh Palestin akan menjadi medan pertempuran besar. Persoalan yang lebih getir ialah, jika konflik itu benar-benar melebar dan menggoncang dunia, adakah kita sudah bersedia dari segi perpaduan, kekuatan ilmu dan daya tahan ekonomi?

Jika kita terus berpecah dan selesa dengan emosi bermusim, jangan terkejut jika suatu hari nanti kita sendiri berdepan ujian yang sama. Ketika itu, tiada guna menuding jari. Tiada ruang untuk mendakwa kita tidak tahu.

Andai dunia benar-benar sedang bergerak ke arah konflik yang lebih dahsyat, semoga Ramadan 2026 bukan dikenang sebagai Ramadan terakhir sebelum bencana. Biarlah ia menjadi Ramadan yang menyedarkan umat tentang pentingnya kesatuan, keinsafan dan tindakan yang berterusan. Sebelum segalanya menjadi terlambat.

Mohamad Hazmi Mohamad Shoroin,
Pensyarah, Jabatan Liberal, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast