Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 MEI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beg mengandungi wang RM1 juta tidak diserahkan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sebaliknya saksi pendakwaan ke-37 (SP37) itu menegaskan, beg tersebut memang diserahkan di lokasi terbuka ketika pemimpin DAP itu sebagai Ketua Menteri.

Gnanaraja berkata, beliau menyerahkan beg berisi wang RM1 juta itu berhampiran kawasan Publika namun tidak mengingati lokasi yang tepat.

Gnanaraja, 44, berkata demikian semasa disoal balas peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang melibatkan Ahli Parlimen Bagan itu.

Ramkarpal: Saya katakan beg itu tidak pernah diserahkan kepada Lim Guan Eng seperti yang didakwa kerana tidak masuk akal untuk Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, untuk ke Publika pada waktu yang sibuk iaitu hari Ahad dengan berpakaian seragam Ketua Menteri Pulau Pinang serta pegang satu beg kononnya mengandungi RM1 juta.

Ini satu perkara yang tidak pernah berlaku.

Gnanaraja: Ia memang sudah berlaku.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Gnanaraja memberitahu mahkamah beliau menyerahkan satu beg berwarna hitam berisi wang RM1 juta kepada Guan Eng semasa menghantar beliau ke Publika, Hartamas pada 20 Ogos 2017.

Katanya, Guan Eng telah mengambil beg berkenaan serta menepuk bahu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) yang berada di tempat duduk pemandu.

Ramkarpal: Setuju ke Encik Gana (Gnanaraja) bahawa dalam perjumpaan tersebut, mengikut versi kamu, Lim Guan Eng telah keluar dari kereta dan tiada sebarang pegawainya berjumpa dengan beliau.

Gnanaraja: Betul tiada.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast