KOTA BHARU : Setiap tahun sepanjang Ramadan, kawasan tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan akan menjadi tumpuan masyarakat sekitar Kelantan khususnya untuk berbuka puasa.
Seawal jam 6 petang lagi pengunjung sudah tiba sebelum ‘menanda’ tempat masing-masing dan membentangkan tikar dan berehat serta menghidangkan juadah yang dibawa atau dibeli.
Setiap hari dianggarkan lebih 1,000 pengunjung memenuhi kawasan itu untuk berbuka puasa.
Kebanyakan mereka adalah dalam kalangan golongan muda.
Kawasan ini menjadi tarikan apabila adanya bazar Ramadan di sebelah lokasi itu yang memudahkan orang ramai membeli juadah.

Selepas berbuka puasa, pengunjung beransur-ansur meninggalkan kawasan itu untuk menunaikan solat Maghrib di surau yang telah disediakan.
Bukan hanya masyarakat sekitar yang datang untuk berbuka puasa tapi lokasi itu turut dikunjungi pengunjung dari daerah luar untuk menikmati suasana meriah seperti yang tular di media sosial.
Bagi Arniesa Evalynn, dia bersama rakannya akan keluar sekitar jam 6 petang untuk ke bazar Ramadan berdekatan bagi mendapatkan juadah sebelum datang berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan sambil menikmati pemandangan yang indah.
“Memang ramai berbuka di sini, kami seperti ‘piknik’,” katanya.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui wartawan Malaysia Gazette, Wan Asri Yaakob berkata, setiap tahun apabila tiba bulan Ramadan dia bersama isterinya berbuka puasa di sini.
Kebiasaan mereka akan membawa juadah yang dimasak dari rumah sambil menikmati pemandangan indah dan kemeriahan orang ramai yang dapat mendatangkan semangat buatnya untuk berbuka puasa.
“Kami seronok berbuka puasa di sini, beramai-ramai dengan pengunjung lain,” katanya. – MalaysiaGazette















