Keadaan di lokasi nahas di Jalan Tambak Paya, Melaka.

KUALA LUMPUR – Tiga pelajar sekolah maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Tambak Paya, Melaka, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga motosikal terbabit dipercayai bertembung secara berdepan di tengah jalan.

“Nahas kira-kira jam 3.50 pagi itu, melibatkan dua motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua dan setibanya di lokasi, ketiga-tiga kenderaan itu telah bertembung antara satu sama lain,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15, dan Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, serta Nur Khairiah Mat Mazlin, 16, pelajar SMK Air Molek yang merupakan pembonceng.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Haziq Haikal Kassim, 18, dilaporkan parah di kepala, kaki dan tangan, kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Christopher berkata, semakan mendapati kesemua penunggang tidak memiliki lesen memandu dan motosikal mereka rosak teruk dan telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast