KOTA TINGGI – Gara-gara terlupa menarik brek tangan, seorang pemandu maut dilanggar lori sendiri yang diparkir depan rumahnya di Jalan Delima, Felda Bukit Besar di sini hari ini.
Kejadian selepas waktu berbuka puasa itu mengorbankan Mohd Rizwan Osman yang berusia 37 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian berlaku pukul 7.45 malam melibatkan lori dipandunya jenis Nissan Rigid Dumper/Tipper.
“Lori diparkir depan rumah tetapi lupa tarik brek tangan sebelum bergerak lalu mangsa cuba menahan untuk memberhentikan kenderaan itu namun mangsa meninggal dunia dilanggar.
“Dalam kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Kes masih disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,00 hingga RM50,000.
Tambahnya, ia termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh sehingga lima tahun. – MalaysiaGazette
















