Datuk Seri Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Sabah, Sarawak dan Labuan memiliki 57 kerusi Parlimen yang berpotensi menjadi penentu pembentukan Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurutnya, untuk membentuk kerajaan, mana-mana gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi dan dalam persaingan sengit tanpa kemenangan besar, blok Borneo boleh memainkan peranan menentukan siapa yang membentuk kerajaan.

Beliau berkata, kekuatan 56 kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak serta satu kerusi dari Labuan menjadikan Borneo faktor penting dalam landskap politik nasional sekiranya tiada pihak memperoleh majoriti jelas.

“Angka semata-mata tidak mencukupi. Kekuatan sebenar, hanya akan terhasil sekiranya Sabah dan Sarawak mampu bersatu serta membawa agenda bersama yang jelas demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan politik di Semenanjung atau Malaya kini semakin tertumpu kepada isu kaum, agama dan persaingan ideologi termasuk polemik berkaitan kerjasama dengan parti seperti DAP.

Menurutnya, perbahasan sering lebih menjurus kepada soal identiti berbanding dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Sabah dan Sarawak perlu kekal tenang serta fokus terhadap keutamaan sebenar iaitu kestabilan politik, pembangunan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkongsian hasil yang adil serta pengukuhan hak negeri dalam Persekutuan.

Mengulas situasi politik negeri, Salleh Said berkata, keadaan di Sarawak lebih tersusun kerana kebanyakan parti yang bertanding merupakan parti tempatan.

Sebaliknya di Sabah, landskap politik lebih kompleks dan memerlukan formula sesuai serta boleh diterima bagi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara.

Beliau menambah, PRU akan datang bukan sekadar soal siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri, sebaliknya ia mengenai hala tuju Borneo sama ada mahu berpecah atau bersatu sebagai rakan setara dalam Persekutuan.

“Dalam keadaan tidak menentu, perpaduan bukan soal emosi. Ia adalah strategi dan mungkin satu-satunya kekuatan yang kita ada,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast