SHAH ALAM – Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak membenarkan dividen daripada akaun lain dimasukkan ke dalam akaun berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ia kerana pembahagian dividen berdasarkan kepada baki yang terdapat dalam di dalam setiap akaun yang berbeza.
“Kalau simpanan itu dalam akaun satu atau dalam akaun persaraan, maka dividen itu perlu dikreditkan ke dalam akaun satu.
“Jadi memang tidak boleh dividen dari akaun lain dimasukkan ke dalam akaun yang lain,” katanya pada sesi Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini, hari ini.
Ahmad Zulqarnain menjawab soalan sama ada KWSP boleh membenarkan keseluruhan dividen sebanyak 6.15 peratus bagi kedua-dua simpanan konvesional dan syariah seperti diumumkan hari ini dimasukkan ke dalam akaun tiga atau Akaun Fleksibel seperti dimohon beberapa pihak.
Antaranya yang membuat gesaan itu termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, yang menyifatkan keputusan tersebut dapat meringankan beban rakyat tanpa menjejaskan simpanan pokok pencarum.
Shahidan berkata, hujah menolak langkah tersebut demi keselamatan persaraan adalah tidak wajar kerana dividen itu hasil pelaburan wang pencarum.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, berhubung pembahagian dividen dibuat berdasarkan kepada baki di dalam ketiga-tiga akaun.
“Katakan pencarum sudah keluarkan sepenuhnya akaun tiga, maka akaun tiga tidak akan dapat dividen.
“Bagi baki dalam akaun dua, dividen akan dimasukkan berdasarkan baki akaun dua, begitu juga bagi dividen untuk baki dalam akaun satu,” katanya.
Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen lebih rendah iaitu 6.15 peratus untuk kedua-dua simpanan konvensional dan syariah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berbanding 6.3 peratus bagi kedua-dua simpanan untuk tahun 2024. – MalaysiaGazette
















