BATU PAHAT – Seorang wanita dan bayinya parah selepas tayar kereta dinaiki pecah sebelum terbalik di Kilometer 19, Jalan Kluang-Batu Pahat dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata, kemalangan berlaku pukul 2.40 pagi selepas kereta tersebut terbabas sendiri.
Beliau memberitahu, kejadian berkenaan berlaku semasa tiga beranak tersebut dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Parit Raja.
“Kereta tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun, isterinya, 41, adalah penumpang pertama.
“Sementara penumpang kedua adalah anak mereka iaitu seorang bayi perempuan berumur 10 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan itu lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri manakala isterinya cedera di kepala, kedua-duanya dirawat di Zon Kuning HSNI.
Beliau berkata, bayi mereka pula cedera parah di kepala dan dirawat di Zon Merah HSNI.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu tular video berdurasi 53 saat berkenaan kejadian tersebut dalam media sosial yang didakwa berlaku di hadapan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Video tular itu memaparkan beberapa pengguna jalan raya berlari ke lokasi kejadian dalam keadaan kereta tersebut terbakar.
Dapat dilihat bayi berkenaan yang dipercayai tercampak beberapa meter dari kenderaan tersebut sedang dipangku pengguna jalan raya dalam keadaan menangis.
Bersebelahan bayi berkenaan terdapat seorang mangsa terbaring tidak sedarkan diri tetapi tidak dapat dipastikan ibu atau bapanya.
Kereta berkenaan pula berada dalam keadaan remuk dan rosak teruk terutama pada bahagian hadapan.- MalaysiaGazette
















