KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar sebagai “poster boy” Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) didakwa membuktikan konsep kepimpinan ulama yang selama ini menjadi tunjang perjuangan Pas semakin terhakis.
Menurut Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil, sekiranya kepimpinan ulama benar-benar menjadi asas perjuangan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sewajarnya diangkat sebagai wajah utama gabungan itu.
Beliau mendakwa, perkembangan tersebut memperlihatkan wajah sebenar Pas yang lebih mengutamakan percaturan politik berbanding perjuangan Islam sebenar.
“Islam sering dijadikan alat untuk meraih sokongan politik khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, termasuk melalui pendirian dan ‘fatwa’ yang berubah-ubah mengikut kesesuaian politik semasa.
“Ketika bermusuh dengan UMNO, UMNO dikafirkan, tetapi apabila mahu bekerjasama, UMNO dianggap rahmat. Ketika menjadi pembangkang, isu hudud dan RUU355 menjadi taruhan, namun apabila menjadi kerajaan, perkara itu seolah-olah sepi,” dakwanya menerusi hantaran di Facebook.
Muhammad Faiz berkata, dengan perubahan haluan politik semasa, Pas tidak lagi boleh mendakwa sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam.
Katanya, tuduhan terhadap Amanah sebagai liberal atau sekular juga disifatkan tidak relevan, memandangkan Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP serta menyokong kepimpinan parti itu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2008 dan 2013.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan prestasi pentadbiran negeri-negeri di bawah Pas dan PN yang didakwa gagal berfungsi dengan baik sebagai kerajaan.
Katanya, alasan perbezaan politik antara Persekutuan dan Negeri tidak boleh dijadikan sandaran, kerana Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mampu mentadbir Selangor dan Pulau Pinang dengan baik walaupun tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan ketika itu.
Berdasarkan data 2024, jelasnya, sebanyak 33.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disumbangkan oleh dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Sebaliknya, empat negeri di bawah pentadbiran Pas dan PN hanya menyumbang kurang lapan peratus, dengan Terengganu sekadar 2.4 peratus.
“Prestasi paling rendah direkodkan oleh Kelantan yang hanya menyumbang 1.7 peratus kepada KDNK negara pada 2024 walaupun merupakan negeri keenam terbesar.
“Lebih membimbangkan, data setakat 31 Disember 2025 menunjukkan Kelantan, Terengganu dan Kedah menyumbang lebih separuh daripada kes kemiskinan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, rakyat perlu bijak menilai kemampuan sesebuah kerajaan kerana sumbangan KDNK menjadi indikator penting prestasi ekonomi.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya, ekonomi negara kini berada di landasan yang lebih kukuh dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat.
“Ekonomi yang baik menjamin kesejahteraan hidup rakyat. Selain pelbagai insentif di bawah Kerajaan Madani, aspek kecukupan makanan pada harga berpatutan juga menjadi kunci dalam mengurangkan kos sara hidup,” katanya. – MalaysiaGazette
















