JOHOR BAHRU – Kerajaan akan meneliti secara menyeluruh kesan ekonomi Malaysia susulan perang yang baru bermula apabila Iran diserang Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan masih menunggu kenyataan rasmi berhubung perkembangan tersebut termasuk pendirian yang akan dikeluarkan oleh Wisma Putra.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga suah mengeluarkan kenyataan awal menerusi laman sosial beliau berhubung situasi berkenaan.
“Dari sudut ekonomi terdapat beberapa perkara utama yang perlu diteliti termasuk hubungan langsung Malaysia dengan Iran serta kesan ketegangan geopolitik terhadap ekonomi global.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, cabaran utama ekonomi pada tahun 2026 adalah faktor geopolitik. Namun, masih terlalu awal untuk membuat telahan mengenai sejauh mana gangguan tersebut akan menjejaskan ekosistem ekonomi dunia.
“Antara perkara yang akan dinilai ialah soal pengeluaran petroleum dan gas kerana Iran memainkan peranan penting dalam pengeluaran tenaga di peringkat rantau dan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Seorang Sekampit Beras di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar menggesa supaya dihentikan segera dan tanpa syarat segala permusuhan susulan serangan terbaharu Israel dan AS terhadap Iran sambil memberi amaran ketegangan semakin memuncak boleh menjerumuskan Asia Barat ke ambang malapetaka.
Dalam satu kenyataan dimuat naik dalam platform media sosial rasminya, Perdana Menteri menyifatkan tindakan melancarkan serangan itu sebagai satu ‘cubaan keji’ untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung serta mengheret negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dibendung.
“Serangan Israel terhadap Iran, serta tindakan ketenteraan AS yang mengiringinya, membawa Asia Barat ke jurang malapetaka,” katanya.
Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kerajaan juga akan meneliti kesan rantaian terhadap keseluruhan sistem ekonomi global.
Menurutnya, Malaysia tidak boleh mengambil mudah sebarang gangguan terhadap ekonomi dunia dan perlu terus memperkukuh daya tahan ekonomi domestik agar negara tidak terjejas sekiranya berlaku krisis antarabangsa.
Mengulas kemungkinan kenaikan harga minyak dan gas di pasaran dunia, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada mekanisme pasaran serta keputusan pengeluar utama minyak.
Para pengeluar utama, katanya, mempunyai mekanisme tertentu dalam menguruskan soal pengeluaran dan harga, Malaysia juga terlibat dalam beberapa mekanisme tersebut.
“Justeru, perkembangan itu akan menjadi antara panduan bagaimana pasaran global menguruskan isu pengeluaran dan harga minyak,” katanya. – MalaysiaGazette















